
Peguamnya, Awang Armadajaya Awang Mahmud, dakwa cara lelaki itu ditangani adalah keterlaluan justeru menimbulkan persoalan mengenai tatacara operasi standard (SOP) menangani situasi melibatkan pesakit mental.
Katanya, anak guam beliau akan menuntut tindakan undang-undang untuk mendapatkan suatu perintah mahkamah kepada polis bagi mewujudkan SOP khas menghadapi individu sakit mental.
Waris berkenaan juga mahukan deklarasi liabiliti pihak berkuasa atas kematian mangsa, serta ganti rugi am akibat kecuaian dan kesalahan tindakan operasi.
“Selain itu, siasatan telus oleh Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis atau badan bebas lain, perintah tetap ketua polis negara bagi sesi libat urus, dan pendedahan SOP polis dalam menangani pesakit mental,” katanya pada sidang media.
Dalam kejadian pada Isnin itu, media melaporkan polis melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri ketika cuba menangkap seorang lelaki yang dikatakan mengamuk, di Taman Seri Utama, Sungai Petani, Kedah.
Menurut Ketua Polis Kuala Muda, Wan Azharuddin Wan Ismail, ketika polis cuba menangkapnya, suspek menghayunkan parang menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan. Empat anggota polis dilaporkan cedera ketika cuba menahannya.
Lelaki itu meninggal dunia pada 1.04 pagi selepas hari kejadian.
Menurut peguam waris pula, ahli keluarga sebelum itu pada hari kejadian membuat laporan polis bagi meminta bantuan untuk menghantar lelaki itu ke hospital dan mendapatkan rawatan psikiatri.
Awang Armadajaya menunjukkan kepada pemberita beberapa gambar rumah di lelaki itu berada, dengan kapsyen menyebut tentang penemuan bom asap, semburan hos pili air deras bomba, dan beberapa das tembakan.
Beliau juga berkata terdapat pendekatan alternatif yang melibatkan unit kesihatan namun ini tidak digunakan.
Sementara itu, seorang lagi peguam, Harryzan Yaakub, memaklumkan pihaknya telah memohon laporan bedah siasat daripada Hospital Sultan Abdul Halim.