Akta Imigresen lompong buka ruang pegawai terlibat ‘counter setting’, kata peguam

Akta Imigresen lompong buka ruang pegawai terlibat ‘counter setting’, kata peguam

T Harpal Singh juga gesa tingkat sistem data lapangan terbang bagi menyekat 'counter setting' termasuk melalui pemeriksaan pasport dan pengesanan penumpang.

kaunter imigresen
Aktiviti ‘counter setting’ kali pertama didedahkan Jabatan Imigresen pada 2017, menurut Ketua Pengarahnya Zakaria Shaaban. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kelompangan undang-undang dalam Akta Imigresen 1959/1963 memberi ruang kepada pegawainya menyalahguna kuasa dan terlibat dalam kartel ‘counter setting’, kata seorang peguam.

‘Counter setting’ merujuk kepada amalan rasuah yang membenarkan warga asing memintas pemeriksaan standard imigresen di pintu masuk negara.

T Harpal Singh berkata, akta itu tidak menyenaraikan tugas yang akan dilakukan pegawai imigresen, seperti mengesahkan pasport dan visa serta menyemak sama ada warga asing disenaraihitamkan.

“Jika proses pengesahan ini ditetapkan dalam akta, maka kegagalan untuk mematuhi boleh sama dengan kesalahan dan tindakan boleh diambil,” katanya kepada FMT.

Sekiranya tiada peruntukan tersebut, pegawai hanya diharapkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) jabatan.

“Ketidakpatuhan SOP hanya mengakibatkan tindakan tatatertib (dalaman),” katanya.

Semakan oleh FMT mengesahkan bahawa akta terbabit tidak menyenaraikan secara jelas tugas pegawai.

Bagaimanapun, Bahagian IV akta tersebut, bertajuk ‘Prosedur ketibaan di Malaysia’, menggariskan kuasa mereka, termasuk kuasa untuk —

  • memeriksa individu yang tiba;
  • merujuk mereka yang status kemasukan diragui ke depot tahanan imigresen untuk penilaian lanjut;
  • menghalang ketibaan haram; dan
  • merampas, menahan serta melucuthak kapal, kenderaan atau pesawat.

Harpal menggesa akta itu dipinda, sambil menyatakan bahawa janji-janji reformasi telah berulang kali tergendala di bawah pentadbiran terdahulu.

Beliau juga menggesa infrastruktur data lapangan terbang ditingkatkan, termasuk sistem pengesahan pasport yang kukuh dan sistem penjejakan penumpang yang direka bagi menghalang pegawai imigresen daripada memintas prosedur dan terlibat dalam ‘counter-setting’.

Harpal mengulas kenyataan Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban minggu lalu, amalan ‘counter-setting’ masih berleluasa walaupun tindakan tatatertib dikenakan terhadap pegawai terlibat.

“Jika tindakan dibiarkan hanya kepada jabatan imigresen, pegawai hanya akan dipindahkan dan kes ditutup secara senyap. Tetapi jika kes mereka dikendalikan oleh SPRM atau polis campur tangan, mereka boleh ditangkap dan didakwa,” katanya.

Pada 18 Sept, Zakaria berkata pihaknya mengesan kewujudan kartel di mana pegawai kanan merekrut kakitangan baharu untuk aktiviti ‘counter-setting’, dengan menawarkan ganjaran lumayan.

Beliau berkata, aktiviti ‘counter-setting’ mula dikesan dalam jabatan itu pada 2017, dengan pegawai baharu yang enggan terlibat menghadapi boikot dan pengasingan.

Tidak benar Jabatan Imigresen tak boleh dakwa pegawai

Harpal menolak dakwaan Zakaria bahawa pihaknya tidak boleh bertindak lebih daripada tindakan tatatertib terhadap pegawai yang terlibat dalam ‘counter-setting’, sambil berkata aktiviti sedemikian mungkin dianggap sebagai pemerdagangan orang.

Jika demikian, pegawai terbabit boleh didakwa bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, tambahnya.

Harpal berkata, jabatan itu mempunyai unit khas yang mengendalikan kes pemerdagangan orang dan undang-undang pengubahan wang haram yang memberi kuasa untuk menangkap mereka yang terlibat dengan jenayah berkaitan.

Sementara itu, seorang pegawai imigresen yang kini bergelar peguam turut menggesa kerajaan menggubal dasar perkhidmatan awam yang tegas, iaitu mewajibkan pegawai yang disabitkan dengan kesalahan jenayah dilucutkan jawatan secara mandatori.

Peguam itu, yang enggan dikenali, turut mencadangkan agar pegawai yang digantung perkhidmatan dilarang daripada kenaikan pangkat dan tidak ditempatkan semula di jawatan ‘sensitif’, sekiranya dikembalikan bertugas.

“Tribunal integriti bebas di bawah Parlimen harus ada, bukan di bawah agensi yang sama.

“Kerajaan juga perlu menyusun semula gaji dan laluan kerjaya untuk memprofesionalkan perkhidmatan, mengurangkan kerentanan, serta mengaitkan integriti dengan prospek kenaikan pangkat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.