2 suspek kes dadah tular rempuh polis, kenderaan awam ditahan

2 suspek kes dadah tular rempuh polis, kenderaan awam ditahan

Suspek bertindak agresif ketika polis cuba menyekat kenderaannya selepas dikesan dalam Op Tapis.

Tangkap layar kejadian tular menunjukkan kenderaan lain dirempuh suspek ketika cuba melarikan diri. (Gambar PDRM Tawau)
PETALING JAYA:
Dua lelaki ditahan selepas bertindak agresif merempuh kenderaan pasukan keselamatan dan beberapa kenderaan lain ketika berusaha melarikan diri, dalam kejadian di kawasan lampu isyarat di Tawau, semalam.

Kejadian kira-kira 1.45 tengah hari itu turut tular di media sosial selepas tindakan suspek yang memandu secara melulu dirakam orang ramai.

Timbalan Ketua Polis Tawau, Champin Piuh, berkata kejadian berlaku ketika pihaknya menjalankan serbuan Op Tapis selepas mengesan sebuah Toyota Hilux yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, polis cuba menyekat kenderaan itu berhampiran kawasan perindustrian Batu 3, namun suspek bertindak agresif dengan merempuh kenderaan polis serta beberapa kenderaan lain.

“Suspek kemudiannya memecut ke arah lampu isyarat Jalan Apas sambil memandu secara melulu, sebelum berjaya ditahan selepas kenderaan mereka dikepung polis,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut dalam kenderaan menemukan sebuah beg kain di bawah brek tangan yang mengandungi dua paket plastik lut sinar berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu seberat 5.13 gram dengan anggaran nilai RM400.

Katanya, kedua-dua suspek lelaki tempatan dan remaja warga asing turut dikesan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Usaha mengesan individu lain yang disyaki turut terbabit masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 ,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.