
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad, berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) turut menahan penjaga stor lelaki tempatan berusia 55 tahun, dalam operasi selama dua hari bermula 3 Nov.
Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah dengan menyewa rumah teres berpagar dan berkawal bagi mengaburi kegiatan terlarang itu.
“Hasil siasatan, stor tersebut juga dipercayai digunakan untuk memproses dadah serbuk kepada cecair,” katanya menurut Bernama pada sidang media di IPK Kontinjen Johor, Johor Bahru.
Beliau berkata, dadah dirampas terdiri 25.24kg pil ekstasi, 23.10kg syabu, 22.43kg serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA), 13.40kg ketamin, 11.51kg ekstasi, 19.41kg pil erimin 5, dan pelbagai peralatan memproses.
“Sebuah kereta Toyota Vios dan wang tunai RM10,000 turut disita dalam serbuan,” katanya.
Ab Rahaman berkata, pihaknya sedang giat mengesan dalang dan ahli sindiket berkenaan dipercayai aktif mengedar sejak Julai lalu.
“Kita percaya sindiket ini ada rangkaian untuk mengambil bekalan dadah dalam negara sebelum diedar untuk pasaran tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata penjaga stor yang mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau, dadah dan trafik itu, direman tujuh hari bermula semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.