Dendam disyaki motif 2 beranak dibunuh, kata polis

Dendam disyaki motif 2 beranak dibunuh, kata polis

Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail berkata dapatan itu susulan penahanan suspek utama iaitu lelaki Nepal berusia 35 tahun.

Anak dan ibu dibunuh
Sariya Che Hin, 51, ditemukan maut di dapur, manakala Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, di tingkat atas rumah sewa mereka, di Kampung Sekolah Juru, Bukit Mertajam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pembunuhan wanita dan anak angkatnya di Kampung Sekolah Juru, Bukit Mertajam, pada 18 Okt didapati bermotifkan dendam, kata Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail.

Beliau yang enggan mendedahkan lebih lanjut, berkata dapatan itu susulan penahanan suspek utama iaitu lelaki Nepal berusia 35 tahun di Selangor pada 24 Okt semasa melarikan diri daripada pihak berkuasa.

“Reman terhadap suspek utama akan tamat esok dan polis akan memohon perintah itu disambung bagi melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya kepada Bernama.

Azizee berkata, dua lagi lelaki Nepal termasuk abang kepada suspek utama akan dibebaskan dengan jaminan polis selepas perintah reman tamat esok.

Sebelum ini, media melaporkan Sariya Che Hin, 51, ditemukan maut di dapur, manakala Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, di tingkat atas rumah sewa mereka.

Susulan kejadian itu, polis menahan suami mangsa berusia 57 tahun dan tiga lelaki Nepal bagi membantu siasatan.

Menurut Sinar Harian, bedah siasat mendapati dua beranak itu maut akibat parah pada bahagian leher dipercayai akibat senjata tajam seperti pisau pemotong daging.

Kesan kecederaan lain turut dijumpai pada badan mangsa, menunjukkan kemungkinan berlaku pergelutan sebelum kejadian, dipercayai apabila mangsa cuba menangkis serangan, kata Pakar Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Dr Zahari Noor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.