
Ketua Polis Serdang, Muhamad Farid Ahmad, berkata lelaki tempatan itu direman lima hari hingga 10 Nov ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Tiga suspek lelaki sebelum ini direman lima hari bagi reman pertama, disambung tiga hari bagi reman kedua yang tamat 7 Nov (esok).
“Suspek keempat iaitu seorang wanita juga direman lima hari bagi reman pertama dan disambung tiga hari lagi bagi reman kedua yang tamat Sabtu ini,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, laporan bedah siasat belum diperoleh kerana menunggu keputusan analisis makmal dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif pembunuhan.
Mayat mangsa berusia 24 tahun ditemui orang awam pada 3.45 petang 29 Okt lalu dekat bulatan Blue Water Estate, selepas terhidu bau mencurigakan.
Tiga lelaki ditahan Jumaat lalu membabitkan bekas teman lelaki dan abang angkat mangsa berusia 24 hingga 30 tahun, manakala suspek keempat ialah wanita berusia 30-an yang juga rakan serumah mangsa di kawasan kediaman Taman Castlefield, Cheras.