SKMM minta TikTok beri penjelasan dakwaan sindiket rekrut keldai dadah

SKMM minta TikTok beri penjelasan dakwaan sindiket rekrut keldai dadah

TikTok diminta beri penjelasan rasmi berhubung mekanisme pemantauan terhadap kandungan atau iklan yang disyaki digunakan bagi tujuan jenayah.

tiktok
Satu sindiket dilaporkan memperdayakan beberapa individu untuk menyeludup sejumlah dadah ke Manchester, United Kingdom melalui tawaran kerja yang diiklankan di TikTok.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta penjelasan daripada TikTok berhubung mekanisme pemantauan kandungan mencurigakan susulan laporan sindiket merekrut keldai dadah melalui platform tersebut.

Perkara itu susulan laporan satu sindiket dipercayai memperdaya beberapa individu untuk menyeludup dadah ke Manchester, United Kingdom melalui tawaran kerja yang diiklankan di TikTok.

“SKMM meminta penjelasan rasmi daripada TikTok berhubung mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan dalaman mereka terhadap kandungan atau iklan yang disyaki digunakan bagi tujuan jenayah.

“Ini termasuk tawaran kerja palsu yang berpotensi memperdaya pengguna,” kata SKMM dalam kenyataan.

Suruhanjaya itu beri amaran sebarang penyalahgunaan platform dalam talian untuk merekrut atau memperdaya pengguna bagi kegiatan jenayah merupakan satu kesalahan serius di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tambahnya, Seksyen 263(1) memperuntukkan pemegang lesen bertanggungjawab mengambil langkah terbaik bagi memastikan rangkaian atau perkhidmatan di bawah kawalannya tidak digunakan untuk tujuan jenayah.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap sebarang tawaran kerja mudah di media sosial, terutamanya yang melibatkan penghantaran barangan atau bagasi ke luar negara.

“Tawaran seperti ini sering digunakan oleh sindiket untuk memperdaya mangsa menjadi keldai dadah,” katanya.

Katanya, SKMM akan terus bekerjasama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia dan Jabatan Kastam bagi memperkukuh pemantauan serta meningkatkan kesedaran terhadap kegiatan jenayah rentas sempadan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.