Namewee serah diri susulan siasatan kes bunuh

Namewee serah diri susulan siasatan kes bunuh

Penyanyi kontroversi itu berkata akan beri kerjasama penuh kepada pihak polis agar masyarakat dan keluarga mangsa mendapat penjelasan sewajarnya dalam kes kematian pempengaruh Taiwan, Hsieh Yu-hsin.

Namewee
Penyanyi kontroversi Wee Meng Chee atau terkenal sebagai Namewee, berkata telah melakukan perjalanan ke Kuala Lumpur dari Johor selepas dipanggil polis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penyanyi kontroversi Wee Meng Chee, atau terkenal sebagai Namewee, menyerah diri awal pagi ini, sambil menyatakan tidak akan sesekali melarikan diri susulan terkait kes pembunuhan.

Wee berkata, beliau melakukan perjalanan ke Kuala Lumpur dari Johor selepas dipanggil polis.

Beliau juga terbuka memberi kerjasama dalam siasatan berkenaan.

“Saya kini berada di balai polis dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan, agar masyarakat dan keluarga mangsa mendapat penjelasan sewajarnya.

“Saya tidak akan melarikan diri. Saya telah hadir ke balai polis secara sukarela bagi semua tujuh waran tangkap yang lalu dan tidak pernah cuba melarikan diri,” katanya dalam hantaran media sosial.

Semalam, polis menyatakan pihaknya tidak dapat mengesan Wee susulan kematian pempengaruh media sosial Taiwan, Hsieh Yu-hsin.

Hsieh dilaporkan bertemu Wee di sebuah hotel di ibu negara untuk berbincang mengenai penggambaran video bersama. Beliau dikatakan menemui Hsieh mati dalam tab mandi.

Wee ditahan polis pada 22 Okt di hotel berkenaan, di mana pihak berkuasa menemui sembilan pil biru disyaki ekstasi dalam bilik menginapnya. Beliau kemudian didapati positif amphetamin, methamphetamine, ketamin, dan THC.

Beliau didakwa atas kesalahan pemilikan dan penggunaan dadah, namun mengaku tidak bersalah. Mahkamah membenarkan ikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan.

Semalam, Polis Kuala Lumpur mengklasifikasikan semula kematian Hsieh sebagai kes bunuh, sebelum diklasifikasikan sebelum ini sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Dang Wangi Sazalee Adam, berkata Wee akan direman hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.