Dari wad ke pentas konvo, bakal guru lawan kanser genggam ijazah

Dari wad ke pentas konvo, bakal guru lawan kanser genggam ijazah

Nur Syahidatunnajwa Mohamad Naim, didiagnosis menghidap limfoma Hodgkin, menjalani 15 sesi kemoterapi dan 22 kali radioterapi ketika menamatkan pengajian.

Nur Syahidatunnajwa Mohamad Naim
Nur Syahidatunnajwa Mohamad Naim berjaya bergelar graduan pada 30 Jun lalu ketika berjuang melawan kanser tahap 4.
PETALING JAYA:
Saat nama Nur Syahidatunnajwa Mohamad Naim diumumkan di pentas konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG), dewan bergema dengan tepukan yang bukan sekadar meraikan seorang graduan tetapi mengiktiraf perjuangannya melawan kanser limfoma Hodgkin tahap 4.

Di sebalik senyuman manis sambil menggayakan jubah konvokesyen, gadis berusia 24 tahun ini sudah menjalani 15 sesi kemoterapi dan 22 kali radioterapi.

“Bukan senang untuk saya menerima ujian ini,” katanya kepada FMT.

Ketika menerima berita gembira diterima sebagai graduan IPG Kampus Tuanku Bainun, Pulau Pinang, Syahidatunnajwa berduka apabila didiagnosis menghidap kanser pada usia 19 tahun.

“Keadaan itu membuatkan saya tertekan kerana pada masa sama saya baru memulakan pengajian. Mujur saya diberi cuti untuk selesaikan rawatan dulu di Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya.

Nur Syahidatunnajwa Mohamad Naim didiagnos menghidap kanser limfoma Hodgkin ketika diterima masuk Institut Pendidikan Guru di Pulau Pinang.

Lebih meruntun hati, penyakit itu dikesan setahun selepas keluarganya kehilangan ayah tercinta akibat kegagalan buah pinggang pada Mei 2020.

“Masa mula-mula dapat tahu, saya duduk seorang diri di wad dan menelefon mak. Saya beritahu, ‘Ibu jangan terkejut, kakak mungkin mengidap kanser.’ Waktu itu saya dengar mak menangis dan saya pun menangis.”

Sebagai anak sulung, Syahidatunnajwa menjadi harapan keluarga. Penyakit yang dihadapinya pernah membuatkan dia hampir berputus asa.

“Saya terfikir kalau saya tiada, beban ibu akan kurang. Tetapi ibu saya seorang yang sangat bertawakal. Dialah kekuatan saya,” kongsinya.

Nur Syahidatunnajwa Mohamad Naim bersama ibu, Noraini Abd Rahman,50, serta dua adiknya Syahidatunnaimah Mohamad Naim dan Syahidatun Najlaa’ Mohamad Naim, 18.

Ramai bantu hingga tamat belajar

Mengharungi rawatan intensif seperti kemoterapi dan radioterapi sambil meneruskan pengajian bukan sesuatu yang mudah. Namun, anak jati Baling, Kedah ini menyifatkan pertolongan dan keprihatinan banyak pihak sebagai penyebab utama dia mampu menamatkan pengajian.

“Saya perlu ke hospital untuk rawatan secara berkala, tapi pensyarah faham dan tidak anggap saya sebagai beban,” tambahnya.

Nur Syahidatunnajwa Mohamad Naim bersama arwah bapanya, Mohamad Naim Abdul Wahab yang meninggal akibat kegagalan buah pinggang.

Walaupun terpaksa menangguhkan pengajian kerana menerima rawatan, Syahidatunnajwa tidak hilang semangat sehingga dia akhirnya berjaya menggenggam ijazah selepas lima tahun berusaha.

“Kalau Allah masih izinkan saya bernafas, saya perlu teruskan perjuangan ini,” ujarnya, yang mahu ikut jejak ibu dan arwah bapanya mendidik anak bangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.