
Presidennya, Kullin Djayang berkata, walaupun konsep tersebut bukanlah perkara baharu, pelaksanaannya sering tergendala akibat faktor seperti kesesuaian subjek dan kekurangan guru, yang membantutkan keberkesanan teknik pengajaran tersebut.
“Kami menggesa KPM agar mengisi kekosongan guru terlebih dahulu sebelum melaksanakan pengajaran berpasukan pada 2027, khususnya di Sarawak,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Kullin, walaupun cadangan itu menjanjikan pelbagai manfaat, beberapa aspek penting, termasuk fasiliti sekolah seperti capaian Internet dan projektor LCD, harus diberi pertimbangan bagi memastikan penyampaian pengajaran berpasukan yang efektif.
Beliau turut menekankan kepentingan sistem pengudaraan yang baik dan saiz kelas sebagai faktor penyumbang kepada persekitaran pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang lebih kondusif bagi guru serta murid.
“Kaedah pengajaran ini wajar diterapkan kepada bakal guru di institusi pengajian tinggi (IPT) dan institut pendidikan guru (IPG),” tambahnya.
KPM baru-baru ini mengumumkan rancangan memperkenalkan pendekatan pengajaran berpasukan, yang mana dua guru mengajar serentak di dalam sebuah bilik darjah, dalam kurikulum persekolahan 2027.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, langkah ini akan menjadikan sesi PdP lebih menarik dan berkesan, sekali gus memastikan setiap murid mendapat perhatian sewajarnya.
Minggu lepas, Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) turut menggesa kementerian supaya menjalankan audit komprehensif terhadap bilangan warga pendidik sebelum melaksanakan kaedah pengajaran berpasukan.
Presidennya, Sobri Yusuf berkata, langkah ini bertujuan memastikan dasar tersebut tidak memberi impak negatif kepada sekolah yang sedia ada berdepan isu kekurangan guru.