Perluas bahasa Tamil, Mandarin ke sekolah kebangsaan, kata bekas pemimpin Bersatu

Perluas bahasa Tamil, Mandarin ke sekolah kebangsaan, kata bekas pemimpin Bersatu

Mahathir Rais berkata rakyat tidak akan hilang jati diri, malah buka peluang saling mengenal, menghormati, dan memahami.

cikgu
Mahathir Rais berkata, Malaysia tidak boleh terus abaikan kekosongan masih wujud dalam sistem pendidikan sedia ada.
PETALING JAYA:
Bekas pemimpin Bersatu mencadangkan diperluas pengajaran bahasa Tamil dan Mandarin di sekolah kebangsaan, susulan rancangan kerajaan menawarkan bahasa beberapa negara Asean sebagai bahasa elektif.

Dalam kenyataan, Mahathir Rais berkata ‘sekolah pelbagai bahasa’ boleh menjadi asas perpaduan negara dan ia wajar dihargai sebagai sebahagian kekayaan negara.

Beliau yang juga bekas setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan, berkata dengan mempelajari bahasa lain, rakyat tidak akan kehilangan jati diri, malah membuka peluang saling mengenal, menghormati, dan memahami.

“Dalam satu bilik darjah yang terbuka kepada pelbagai bahasa, murid bukan sekadar belajar mata pelajaran. Mereka belajar saling mengenal, saling menghormati dan saling memahami,” katanya.

Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata Malaysia sedang memperluas tawaran bahasa elektif di sekolah dengan memasukkan bahasa Asean seperti Thai, Khmer, dan Vietnam.

Menurut Fadhlina, walaupun sistem pendidikan dwibahasa negara telah lama mengintegrasikan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, namun pihaknya sedang menggalakkan kerjasama serantau lebih erat.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata usaha KPM menunjukkan kesediaan Malaysia membina hubungan serantau lebih erat dan saling memahami, namun dalam keterbukaan itu, Malaysia tidak boleh terus abaikan kekosongan masih wujud dalam sistem pendidikan sedia ada.

Mahathir turut memberi contoh negara seperti United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) telah lama melaksanakan dasar pendidikan pelbagai bahasa dan usaha itu terbukti berjaya meningkatkan pencapaian akademik dan merapatkan jurang sosial.

Namun, katanya usaha itu akan berhasil jika negara mempunyai tenaga yang cukup dan bersedia.

“Institut Pendidikan Guru (IPG) perlu meningkatkan kapasiti untuk melatih lebih ramai guru dalam bahasa Mandarin dan Tamil, bukan hanya untuk sekolah vernakular, tetapi juga untuk sekolah kebangsaan.

“Dalam masa yang sama, satu sistem bimbingan perlu diwujudkan bagi menghubungkan guru baharu dengan tenaga pengajar berpengalaman daripada SJK(C) dan SJK(T), supaya pengetahuan budaya dan pendekatan pengajaran dapat dikongsi secara berkesan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.