Dulu ‘kais pagi makan pagi’ kini pendapatan penoreh getah berganda

Dulu ‘kais pagi makan pagi’ kini pendapatan penoreh getah berganda

Insentif Produktiviti Getah Lateks (IPGPKL) tingkatkan kualiti hidup pekebun kecil seluruh negara.

penoreh getah
Asmungi Sipon sudah tiga dekad mengusahakan kebun getah di Jeram, Kuala Selangor.
KUALA SELANGOR:
Asmungi Sipon, 72, yang tiga dekad menoreh getah di Jeram, kini tidak lagi hidup ‘kais pagi makan pagi’ berkat bantuan kerajaan Madani.

Hidup Asmungi, yang dahulunya tidak menentu, kini berubah menerusi Insentif Produktiviti Getah Pekebun Kecil Lateks (IPGPKL), skim bantuan yang disalurkan melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

“Dulu saya dapat RM1,000 lebih sebulan, sekarang boleh cecah RM2,000. Jauh sangat bezanya,” katanya.

Bapa kepada enam anak itu menjelaskan, IPGPKL menggalakkan penoreh meningkatkan hasil, dengan beralih daripada sekerap getah bernilai rendah kepada lateks (susu getah) yang lebih menguntungkan. Risda turut menambah insentif RM3 sekilogram bagi mendorong penoreh.

penoreh getah
Program Agromakanan Ternakan Kambing membantu meningkat ekonomi pekebun kecil.

Skim insentif ini, yang bertujuan merangsang pengeluaran getah walaupun harga komoditi suram, mula diperkenalkan pada 2024 dan diteruskan dalam Belanjawan 2025. Kerajaan memperuntukkan RM2.6 bilion untuk Felda, Felcra, dan Risda dalam Belanjawan 2025.

Selain insentif tunai, Asmungi menerima bantuan Agromakanan Risda bernilai RM20,000, termasuk lima ekor kambing yang kini membiak kepada lebih 15 ekor.

penoreh getah
Insentif pengeluaran lateks menaikkan motivasi pekebun kecil, menggandakan hasil.

“Memang besar jasa Risda pada kami. Saya amat berterima kasih, sekarang boleh senyum bangga beri isteri dan anak makan pakai,” katanya.

Nur Fariza Azura Tajul Urus

Ketua Unit Pengembangan Produktiviti & Pemasaran Risda, Nur Fariza Azura Tajul Urus, menjelaskan insentif direka bentuk bukan sahaja untuk meningkatkan kualiti hidup peserta tetapi juga menampung keperluan negara.

“Contoh, pekebun kecil jual kepada kami 30 kilogram kering getah. Pada harga semasa RM7 sekilogram, mereka dapat RM210. Kami tambah insentif RM3 sekilogram (RM90). Jadi, jumlah keseluruhan pekebun kecil dapat adalah RM300 berbanding RM210 sahaja,” jelasnya.

Skim ini telah memanfaatkan hampir 4,000 pekebun kecil di Selangor dan lebih 500,000 di seluruh negara.

Hairusakirin Sarman.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pertanian Risda Selangor, Hairusakirin Sarman, yakin masa depan pekebun kecil semakin cerah.

“Dengan pelbagai bantuan ini, pekebun kecil sudah tidak relevan dengan pepatah kais pagi makan pagi. Cuma kita kena tambah penggunaan teknologi atau ubah konsep daripada penoreh getah kepada usahawan getah, untuk tarik minat anak muda,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.