
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, langkah itu penting agar golongan guru tidak terbeban dengan sesi pembelajaran apabila jumlah pelajar ramai.
“Sememangnya hala tuju KPM adalah untuk melaksanakan sekolah satu sesi,” katanya kepada pemberita di SJKC Yuh Hua, lapor Bernama.
“Sekiranya sekolah terbabit cukup syarat, satu sesi akan dilaksanakan, tetapi sekiranya sekolah terlalu padat, maka dua sesi akan diteruskan.”
Wong berkata, bagi tempoh dua tahun, usaha awal telah dilaksanakan untuk memenuhi keperluan guru, termasuk pengambilan calon Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM, dan pengambilan guru kontrak melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Dalam pada itu, katanya, KPM juga akan membina sekolah baharu di setiap kawasan yang memerlukan.
“Penyelesaian jangka masa panjang, khususnya di kawasan bandar, KPM fokus kepada membina sekolah baharu. Tahun ini, 26 sekolah rendah serta menengah yang baharu akan dibina,” katanya.
Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, KPM berhasrat menjadikan semua sekolah beroperasi satu sesi dan tumpuan kini diberikan bagi memastikan usaha itu terlaksana.