
Mohd Khairil Mohd Anuar, 41, minta dibicara di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Bagi tujuh pertuduhan, tertuduh menerima suapan wang tunai RM367,000 dan empat barangan iaitu set teater rumah, komputer riba, telefon pintar, dan jam tangan pintar bernilai keseluruhan RM36,168.
Satu lagi pertuduhan melibatkan rasuah RM23,000 untuk bayar kos pembaikan rumah milik tertuduh di Bandar Bukit Mahkota dengan semua suapan itu diterima daripada seorang ketua pegawai operasi dan eksekutif kanan sebuah syarikat.
Ia sebagai dorongan menyediakan ulasan teknikal bagi kelulusan bayaran daripada sebuah syarikat cari gali minyak kepada syarikatnya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Bandar Bukit Mahkota, Hulu Langat; Taman Tasik Tambahan Ampang dan Jalan Pinang, Kuala Lumpur antara 27 Jun 2020 hingga sekitar 2023, lapor Berita Harian.
Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.
Sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Dalam prosiding sama, tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pengubahan wang haram RM90,000 membeli tiga bidang tanah dengan luas keseluruhan 5.21 hektar di Hulu Perak pada 25 Nov 2020.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah Dan Tanah Pengkalan Hulu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) Akta sama.
Sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Radzi Shah Ab Razak mengesyorkan jaminan antara RM60,000 hingga RM80,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan menyerah pasport kepada simpanan mahkamah, melapor diri ke Pejabat SPRM Putrajaya.
Peguam mewakili tertuduh Syed Naqiuddin Shahab memohon jaminan sekitar RM40,000 dengan alasan tertuduh penanggung tunggal keluarga dan memberikan kerjasama tanpa gagal sepanjang siasatan dijalankan
Katanya, tertuduh juga sudah melepaskan jawatan dalam syarikat itu.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri ke pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan serta tidak dibenarkan menghubungi mana-mana saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Ogos ini.