Bekas pramugari gagal dapat bahagian lebih besar aset perkahwinan

Bekas pramugari gagal dapat bahagian lebih besar aset perkahwinan

Mahkamah Persekutuan mengesahkan penghakiman Mahkamah Rayuan bahawa ibu kepada dua anak itu hanya layak menerima kira-kira RM20 juta.

istana kehakiman Federal Court
Mahkamah Persekutuan menolak hujah wanita itu bahawa tanggungjawab membuktikan keseluruhan aset perkahwinan terletak pada suami.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan menolak permohonan mengembalikan perintah Mahkamah Tinggi yang menganugerahkan seorang bekas pramugari aset perkahwinan kira-kira RM87.8 juta – dipercayai jumlah tertinggi pernah diberikan kepada pasangan bukan Islam dalam kes pemisahan kehakiman.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Hasnah Hashim menolak hujah wanita itu bahawa tanggungjawab membuktikan keseluruhan aset perkahwinan terletak sepenuhnya pada suaminya, yang juga ahli perniagaan.

Dalam alasan penghakiman pada Selasa, Hasnah menegaskan beban pembuktian sentiasa terletak pada pihak yang menuntut.

Mahkamah Persekutuan turut mengesahkan penghakiman Mahkamah Rayuan bahawa “tempoh perkahwinan” – yang digunakan dalam menentukan pembahagian aset perkahwinan – berakhir pada tarikh pemisahan fizikal, bukannya pada tarikh mahkamah perbicaraan membuat keputusan yang mungkin berlaku bertahun-tahun kemudian.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Nallini Pathmanathan dan Vazeer Alam Mydin Meera memerintahkan wanita berkenaan membayar kos RM150,000 kepada suaminya.

Mahkamah tertinggi itu mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan tahun lalu, yang mengurangkan bahagian aset perkahwinan isteri daripada RM87.8 juta kepada RM19.9 juta.

Mahkamah Rayuan juga mengetepikan perintah nafkah bulanan RM20,000 yang perlu dibayar suami.

Peguam Ambiga Sreenevasan, Peter-Douglas Ling, Emilia Van Buerle, Sarah Ho, Manpreet Kaur Sandhu dan Anishaa Sundramorthy mewakili si suami di Mahkamah Persekutuan, manakala Cyrus Das, RK Sharma, Chew Jia Ying serta Diana Sharma tampil bagi pihak isteri.

Pasangan itu berkahwin pada 1997 dan mempunyai dua anak lelaki yang kini berusia lebih 18 tahun.

Wanita itu memfailkan permohonan pemisahan kehakiman sebelum meninggalkan rumah didiaminya pada akhir 2015.

Selepas perbicaraan selama 28 hari dengan hanya pasangan itu memberikan keterangan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan perkahwinan itu tidak dapat dipulihkan lagi.

Mahkamah Tinggi mengarahkan si suami membayar nafkah bulanan kepada isterinya dan menyerahkan aset perkahwinan alih dan tak alih bernilai RM87.8 juta.

Mereka kemudian mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Dihujahkan di Mahkamah Rayuan bahawa Mahkamah Tinggi gagal membezakan aset diperoleh sebelum dan semasa perkahwinan pasangan itu.

Mahkamah Rayuan turut mengetepikan perintah nafkah bulanan atas alasan aset yang diberikan kepada si isteri mencukupi untuk menyara kehidupannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.