
Seramai 87 individu, termasuk ahli politik, penjawat awam dan usahawan didakwa, antaranya bekas presiden Argentina, Cristina Fernandez de Kirchner yang memegang jawatan dari 2007 hingga 2015.
Bersama suaminya yang juga bekas presiden dan kini meninggal dunia Nestor Kirchner (presiden dari 2003 hingga 2007), beliau didakwa mewujudkan satu sistem mengkehendaki usahawan membayar rasuah untuk mendapat kontrak kerajaan.
Sepanjang tempoh itu, sekurang-kurangnya USD60 juta dipercayai dibayar sebagai rasuah dan beberapa usahawan mengaku membuat bayaran tersebut.
Perbicaraan terbesar ini dijangka mengambil masa beberapa tahun, dengan lebih 440 saksi dijadualkan memberi keterangan.
Kes terbongkar apabila seorang pemandu bertanggungjawab mengutip wang rasuah itu menyimpan rekod terperinci jumlah yang diterima.
Mengikut pertuduhan, wang itu dibawa ke kediaman presiden, pejabat kerajaan dan pangsapuri peribadi pasangan Kirchner menggunakan beg.
Cristina, 72, menafikan semua pertuduhan. Beliau sedang menjalani hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah atas satu lagi kes rasuah. Dua lagi perbicaraan dijangka bermula tahun depan.