2 bekas pegawai bank didenda RM31,000 gagal lapor rasuah

2 bekas pegawai bank didenda RM31,000 gagal lapor rasuah

Mohd Haikal Jamaludin dan Amira Nabiela Mohamad Jamaruddin didakwa gagal melaporkan rasuah berkaitan penyediaan dokumen perjanjian pembiayaan.

shah alam court
Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan denda RM25,000 kepada Mohd Haikal Jamaludin dan RM6,000 kepada Amira Nabiela Mohamad Jamaruddin.
PETALING JAYA:
Dua bekas pegawai bank didenda RM31,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan pilihan gagal melaporkan rasuah berkaitan penyediaan dokumen perjanjian pembiayaan.

Hakim Mohd Nasir Nordin menjatuhkan denda RM25,000 kepada Mohd Haikal Jamaludin, 41, dan RM6,000 kepada Amira Nabiela Mohamad Jamaruddin, 28.

Berita Harian melaporkan hakim turut memerintahkan Haikal dipenjara 30 bulan dan Amira enam bulan, jika gagal membayar denda itu.

Mengikut lima pertuduhan pilihan, Haikal didakwa menerima suapan RM15,920 yang dimasukkan ke akaun banknya melalui seorang lelaki bagi sebuah firma guaman sebagai upah mencadangkan penyediaan lima dokumen perjanjian pembiayaan perumahan dianggarkan RM2.46 juta di dua cawangan bank sama di sini antara 14 April 2021 hingga 13 Jan 2022.

Amira pula didakwa menerima suapan RM3,201 yang dimasukkan ke akaun banknya sebagai upah mencadangkan firma guaman lain bagi penyediaan dua pinjaman pembiayaan perumahan berjumlah RM924,387.20 di cawangan bank Shah Alam pada 23 Nov 2021.

Dua tertuduh melanggar peruntukan Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana gagal melaporkan kepada pegawai SPRM atau polis berhubung penerimaan suapan itu.

Mereka juga melanggar Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Haikal yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan kerana menanggung empat anak dan menjaga ibunya baru menjalani pembedahan kanser tahap empat.

“Saya diberhentikan kerja pada November 2024 disebabkan cuti tanpa pengetahuan majikan susulan ada penyakit darah tinggi dan gout. Saya bertaubat dan hanya menyediakan RM5,000 saja,” katanya menurut Berita Harian.

Amira yang juga tidak diwakili peguam merayu sambil menangis, dia tidak lagi bekerja, mempunyai seorang anak berusia setahun, perlu menanggung komitmen bulanan termasuk rumah, kereta dan pinjaman pendidikan serta membayar keperluan ubatan ibu bapa.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Izzati Sapifee dan Mohamad Taufik Awaludin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Dalam kes berasingan, pegawai bank, Koh Wei Yeong, 37, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas dua pertuduhan, termasuk tuduhan pilihan rasuah RM1,800 yang dimasukkan ke akaun bank isterinya sebagai upah mencadangkan firma guaman lain bagi penyediaan pinjaman pembiayaan berjumlah RM300,000 di sebuah bank di Kelana Jaya pada 13 Mei 2020.

Koh dibenarkan diikat jamin RM8,000 dan sebutan semula ditetapkan 16 Dis ini.

Tiga tertuduh ini antara 49 pegawai dan bekas pegawai beberapa institusi perbankan yang ditahan dalam Op Tiger dijalankan SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.