13 lelaki termasuk CEO GISBH dipenjara 15 bulan, 9 wanita didenda RM4,500

13 lelaki termasuk CEO GISBH dipenjara 15 bulan, 9 wanita didenda RM4,500

Bagaimanapun, semua 13 tertuduh yang direman sejak tahun lalu dibebaskan hari ini kerana tempoh pemenjaraan berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap.

Nasiruddin Ali
Sebelum ini, CEO GISBH Nasiruddin Mohd Ali dan 21 lain didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang. (Gambar Bernama)
KAJANG:
Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali dan anak bekas pengasas al-Arqam, Ashaari Muhammad, antara 13 lelaki dijatuhi hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas mengaku bersalah menjadi anggota pertubuhan menyalahi undang-undang itu.

Selain Nasiruddin, 66, dan Mohammad Adib At-Tamimi, 33, tertuduh yang lain ialah Mohd Shukri Mohd Noor, 54; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Mokhtar Tajuddin, 61; Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; Shuhaimi Mohamed, 57; Hasnan Abd Hamid, 54; dan Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52.

Hakim Latifah Mohd Tahar, yang bersidang di Kompleks Penjara Kajang, memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh mereka ditangkap, iaitu antara 25 Sept 2024 hingga 12 Okt 2024.

Ini bermakna Nasiruddin dan 12 lelaki itu dibebaskan hari ini kerana mereka berada dalam tahanan reman sejak ditangkap.

Sementara itu, isteri Nasiruddin, Azura Md Yusof, 58, bersama lapan wanita lain, didenda RM4,500 setiap seorang selepas turut mengaku bersalah atas pertuduhan sama, menurut Bernama.

Lapan wanita berkenaan ialah Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nur Jannah Omar, 33; Hamimah Yakub, 72; Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45; Nurul Jannah Idris, 29; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; dan Mahani Kasim, 55.

Mahkamah turut memerintahkan semua sembilan wanita itu dipenjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mereka sebelum ini didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan, namun Jabatan Peguam Negara telah menerima representasi dikemukakan semua tertuduh bagi mengkaji pertuduhan dihadapi mereka.

Mengikut pertuduhan pilihan itu, semua mereka didakwa menjadi anggota GISBH yang merupakan sebuah pertubuhan menyalahi undang-undang di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang antara Oktober 2020 hingga 11 Sept 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan Norinna Bahadun, manakala peguam Rosli Kamaruddin yang mewakili semua tertuduh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.