
Ketua Polis Kuala Muda, Hanyan Ramlan, berkata ia susulan maklumat diterima hasil semakan ke atas sijil cuti sakit (pegawai perubatan kerajaan) mencurigakan yang dikemukakan anggota polis itu.
Bertindak atas maklumat, katanya, polis menyerbu sebuah premis di Taman Songket Indah, Sungai Petani kira-kira 4.30 pagi 26 Jun lalu.
“Seorang lelaki lewat 40-an ditahan. Turut dirampas kira-kira 20 keping sijil cuti sakit palsu, tablet, komputer riba, mesin pencetak, cop nama doktor serta kertas A4 dipercayai digunakan untuk menghasilkan sijil cuti sakit palsu,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media di IPD Kuala Muda.
Hanyan berkata, lelaki itu dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan sejak dua tahun lalu menggunakan nama doktor pernah merawatnya dengan butiran jawatan direka sendiri dan menjual MC palsu pada harga RM25 hingga RM30 untuk sehari cuti tanpa sebarang pemeriksaan kesihatan.
“Setiap kali suspek mendapatkan rawatan di hospital, dia akan mengingati nama doktor itu untuk digunakan pada cop nama. Kebanyakan nama menggunakan doktor sebenar, namun jawatannya tidak tepat.”
Menurutnya, sasarannya ialah penjawat awam dan anggota polis yang dipercayai bertemu suspek di kedai makan berdekatan hospital.
Beliau berkata, dua lagi lelaki berusia 30-an ditahan kerana dipercayai menjadi orang tengah membantu mendapatkan pelanggan mahu membeli sijil cuti sakit tanpa rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan 468 Kanun Keseksaan, iaitu menipu serta memalsukan dokumen.
Katanya, semua suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas dirakam keterangan.