
P Sundramoorthy daripada Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, bagi membolehkan pasukan itu mencerminkan masyarakat majmuk Malaysia, proses pengambilannya mesti ‘tidak mengira kaum, berasaskan merit dan benar-benar berpaksikan keupayaan’.
Beliau juga berkata, ketiadaan tokoh contoh yang jelas daripada pelbagai latar belakang mengukuhkan persepsi tersebut, sekali gus melemahkan semangat ramai bukan Melayu untuk menyertai pasukan itu.
Seorang pesara pegawai kanan yang enggan identitinya didedahkan memberitahu FMT, beliau menamatkan perkhidmatan lebih awal selepas berulang kali menyaksikan rakan setugas yang lebih junior dinaikkan pangkat mengatasinya, walaupun beliau telah berkhidmat lebih dua dekad.
“Semakin lama semakin mengecewakan apabila saya lihat pegawai yang 10 tahun lebih junior daripada saya dinaikkan pangkat,” kata bekas pegawai polis bukan Bumiputera itu.
“Sepanjang lebih 22 tahun berkhidmat, saya tidak pernah dapat surat tunjuk sebab. Saya seorang anggota polis yang taat. Pihak atasan akan sedaya upaya menyukarkan peluang kita untuk naik pangkat, hadiri kursus dan penempatan, sama ada di dalam atau di luar negara.
“Isu ini sensitif, tetapi sistemnya berat sebelah dan lebih memihak kepada majoriti.”
Pada 20 Nov, Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah memberitahu Dewan Rakyat, terdapat hanya 7,581 anggota bukan Bumiputera, iaitu 5.5%, daripada keseluruhan pasukan polis.
Beliau berkata, polis telah melonggarkan syarat fizikal dan akademik tertentu bagi menarik lebih ramai pemohon bukan Bumiputera, di samping meningkatkan usaha turun padang di sekolah, universiti dan komuniti setempat.
Bagaimanapun, Sundramoorthy memberi amaran agar piawaian kemasukan tidak direndahkan.
Sebaliknya, katanya, pasukan polis perlu memperhalus kriteria pemilihannya bagi membolehkan penilaian yang lebih holistik dibuat.
“Perwakilan kaum tidak boleh dicapai dengan menggadaikan piawaian asas akademik, fizikal dan etika yang memastikan pegawai benar-benar cekap dan berdaya tahan,” katanya kepada FMT, menegaskan bahawa kerjaya kepolisan menuntut kekuatan mental dan fizikal, serta melibatkan proses membuat keputusan berisiko tinggi.
“Kelonggaran kriteria kemasukan yang melampau berisiko membenarkan pengambilan rekrut yang tidak mampu menangani kerumitan tugas di barisan hadapan, berpotensi menjejaskan keyakinan orang ramai serta moral pegawai sedia ada.”
Sundramoorthy mencadangkan penilaian merangkumi ujian psikometrik, temu duga berstruktur dan ujian pertimbangan situasi bagi mengenal pasti calon yang mempunyai pertimbangan wajar, kecerdasan emosi serta kesedaran komuniti.
Beliau turut menyebut faktor lain yang cenderung menjadi penghalang bagi pemohon bukan Bumiputera.
Katanya, gaji yang lebih tinggi, kemajuan kerjaya yang lebih pantas serta keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih baik cenderung menarik minat belia yang cemerlang akademik ke sektor swasta.
“Tanpa usaha turun padang yang kukuh dan laluan kerjaya yang jelas, usaha pengambilan akan terus menemui jalan buntu,” kata Sundramoorthy.