Penghantar p-panggilan mengaku tak salah rogol, menyamar polis

Penghantar p-panggilan mengaku tak salah rogol, menyamar polis

Lelaki berusia 32 tahun itu turut membuat pengakuan sama kerana samun berkumpulan.

Gavel
R Sathiyaseelan, 32, didakwa di Mahkamah Sesyen Klang kerana merogol kerani wanita berusia 37 tahun di kawasan parkir di Jalan Tapah, Klang, kira-kira 2 pagi 18 Jan. (Gambar Pexels)
PETALING JAYA:
Seorang penghantar p-panggilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang atas tiga pertuduhan rogol, samun secara berkumpulan, dan menyamar sebagai anggota polis di Jalan Tapah, minggu lalu.

R Sathiyaseelan, 32, didakwa merogol seorang kerani wanita berusia 37 tahun sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa di kawasan parkir di Jalan Tapah, Klang, kira-kira 2 pagi, 18 Jan, mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan ini, Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Menurut Bernama, peguam Nathiya Kamalanathan memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh adalah penanggung tunggal keluarga dan tidak mempunyai pendapatan tinggi kerana hanya bekerja sebagai penghantar p-panggilan.

Hakim Syarifah Hascindie Syed Omar membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan semua syarat tambahan dimohon pendakwaan.

Sathiyaseelan, yang turut berdepan pertuduhan melakukan samun berkumpulan dengan rakannya M Balaraj, 34, mengaku tidak bersalah mengambil beg tangan mangsa di lokasi dan waktu sama.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Nor Suhaili memohon kedua-dua tertuduh masing-masing dikenakan jaminan RM20,000, namun Nathiya merayu jumlah itu dikurangkan.

Syarifah Hascindie kemudian menetapkan jumlah jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh beserta semua syarat tambahan dimohon pendakwaan.

Di Mahkamah Majistret, Sathiyaseelan dan Balaraj berdepan pertuduhan menyamar sebagai anggota polis mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadia Syuhada Rosli menawarkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh, namun Majistret A Karthiyayini membenarkan mereka diikat jamin RM3,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 5 Mac ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.