
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata mangsa ditemui 7.30 pagi tadi oleh anggota polis dan bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
“Polis dan JBPM menemui mangsa pada jarak kira-kira 50m dari kenderaan,” katanya kepada pemberita di sini.
Semalam, Ketua Polis Sepang, Norhizam Bahaman, mengesahkan individu yang hilang selepas dihanyutkan arus deras itu merupakan anggota dari IPD Nilai.
Berdasarkan maklumat awal, katanya, mangsa yang berkhidmat di IPD Nilai difahamkan dalam perjalanan ke tempat kerja selepas menziarahi keluarganya di sini.
Media sebelum ini melaporkan seorang pemandu kereta dipercayai lemas selepas gagal berenang meninggalkan Perodua Bezza dinaikinya yang terbabas ke parit di kawasan banjir dekat Klinik Desa Giching, kira-kira 11 malam kelmarin.