
Ketua Polis Besut, Azamuddin Ahmad@Abu berkata, gadis 19 tahun itu membuat laporan polis semalam mendakwa diperdaya individu menyamar pegawai polis melalui panggilan telefon sehingga mengalami kerugian RM62,000.
“Berdasarkan keterangan mangsa, dia menerima panggilan daripada telefon ayahnya ketika berada di rumah kira-kira 12 tengah hari semalam.
“Dia dimaklumkan bapanya mempunyai saman berjumlah RM25,000. Panggilan berkenaan kononnya disambungkan ke IPK Perak dan mangsa bercakap dengan suspek untuk urusan laporan polis,” katanya menurut Harian Metro.
Azamuddin berkata, suspek kemudian mendakwa pemeriksaan nombor kad pengenalan mangsa mendapati dia mempunyai akaun bank dibuka atas namanya dan terbabit kes pengubahan wang haram serta dadah.
Menurutnya, suspek meminta penganggur itu membayar RM60,000 untuk membersihkan namanya.
“Oleh kerana percaya serta takut, mangsa mengikuti segala arahan sehingga sanggup menjual barang kemas ibunya untuk mendapatkan wang,” katanya sambil menambah mangsa membuat laporan polis selepas merasakan dirinya ditipu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Beliau meminta orang ramai lebih berwaspada dengan tidak menekan sebarang pautan mencurigakan atau berhati-hati menjawab panggilan telefon daripada individu tidak dikenali.