
Ketua Polis Kuantan, Ashari Abu Samah, berkata sepasang kekasih “ditahan” atas dakwaan berkhalwat membuat laporan yang membawa kepada penahanan dua suspek berusia 30 dan 36 tahun di sebuah rumah di Kuantan.
Menurutnya, dua suspek yang bekerja sendiri itu menyamar pegawai kanan polis berpangkat deputi komisioner sambil menunjukkan dokumen palsu ketika menemui pasangan kekasih dalam lingkungan 20-an dengan mendakwa mereka terbabit kes khalwat.
“Mangsa diminta membuat sejumlah pembayaran ke akaun suspek kononnya untuk menyelesaikan kes berkenaan.
“Siasatan turut mendapati suspek menggunakan aplikasi ChatGPT menghasilkan surat palsu berlogo pihak berkuasa menggunakan nama seorang pegawai kanan polis tidak wujud,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, surat itu kemudian disunting seorang lagi suspek menggunakan komputer riba untuk menambah tanda tangan palsu bagi tujuan penipuan.
Katanya, dua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Ashari menasihatkan orang ramai tidak mudah percaya mana-mana individu mengaku pegawai kerajaan atau polis tanpa pengesahan sahih.
“Saya tegaskan di sini, tiada sebarang bayaran atau transaksi wang dibenarkan untuk menyelesaikan kes atau siasatan.
“Sebarang maklumat mengenai kes seumpama ini boleh disalurkan kepada IPD Kuantan di talian 09-505 2222.”