Pesara rugi RM201,000 jadi mangsa ‘phone scam’

Pesara rugi RM201,000 jadi mangsa ‘phone scam’

Mangsa sebelum itu dihubungi beberapa individu mendakwa sebagai wakil syarikat insurans, pegawai polis dan timbalan pendakwa raya.

scammers
Mangsa melakukan 10 transaksi yang keseluruhannya berjumlah RM201,000 dalam tempoh 9 April hingga 12 Jun lalu sebelum menyedari ditipu, kata Ketua Polis Pahang Yahaya Othman.
PETALING JAYA:
Seorang pesara kerugian RM201,000 selepas terpedaya dengan sindiket `phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai polis dan timbalan pendakwa raya.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman berkata, pihaknya menerima laporan semalam daripada wanita berusia 59 tahun itu yang mendakwa dia pada mulanya menerima panggilan daripada wakil syarikat insurans.

Katanya, mangsa diberitahu dia mempunyai tuntutan insurans bernilai RM68,000 pada Februari lalu sebelum panggilannya disambungkan kepada individu lain.

“Individu terbabit mengaku sebagai pegawai polis dan timbalan pendakwa raya yang mendakwa mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram.

“Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa membuka akaun bank baharu sebelum memindahkan wang kepada akaun yang diberikan kononnya untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.

Menurutnya, mangsa melakukan 10 transaksi yang keseluruhannya berjumlah RM201,000 dalam tempoh 9 April hingga 12 Jun lalu sebelum menyedari ditipu.

“Siasatan mendapati sumber kewangan daripada simpanan mangsa dan pinjaman peribadi.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berikutan itu, beliau menasihatkan orang ramai membuat semakan dengan polis atau agensi berkenaan terlebih dahulu apabila menerima panggilan meragukan.

“Buat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi.

“Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.