
Dalam Op Putih, selain tiga pegawai berkenaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menahan seorang pengurus syarikat dan seorang warga asing, semalam.
Berita Harian memetik sumber sebagai berkata, lima suspek membabitkan tiga lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 40-an itu ditahan antara 11 pagi hingga 2.30 petang, di sekitar Putrajaya serta Kelantan.
“Semua suspek itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan sekitar 2020 hingga 2021.
“Hasil siasatan awal mendapati tiga pegawai penguat kuasa terbabit disyaki menerima wang rasuah antara RM50,000 hingga RM60,000 bagi setiap permohonan pendaftaran pekerja asing yang dilakukan,” kata sumber berkenaan.
Katanya, operasi khas itu dijalankan Bahagian Perisikan SPRM untuk membongkar kegiatan sindiket dipercayai membabitkan beberapa pegawai imigresen bersekongkol dengan ejen warga asing, dalam proses pendaftaran pekerja asing bertentangan prosedur ditetapkan.
“Fokus utama operasi itu ialah mengekang amalan rasuah dalam kalangan pegawai awam dan melumpuhkan rangkaian sindiket yang terbabit.”
Semua suspek kini direman tujuh hari hingga 30 Jun.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Amin Rashidi Ramli selepas permohonan dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Kota Bharu, pagi tadi.
Sementara itu Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Idris Zaharudin, mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.