
Kebimbangan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah semalam berkait ‘jurang membimbangkan’ antara matlamat Pelan Integriti Nasional dan realiti semasa negara, bukan sekadar titah dalam upacara rasmi.
Ia amaran lahir daripada pemerhatian mendalam terhadap kegagalan menangani isu integriti, walaupun pelbagai pelan diperkenalkan sejak dua dekad lalu. Kita harus bertanya dengan jujur: sampai bila kita mahu berpura-pura masalah hanya kecil sedangkan hakikatnya sudah menular ke akar sistem?
Seolah meluahkan isi hatinya, Sultan Nazrin menegaskan PIN yang lahir dengan niat suci 21 tahun lalu, sepatutnya membantu menggerakkan negara ke arah budaya pentadbiran berasaskan amanah dan ketelusan.
Namun, rasuah, salah guna kuasa, ketirisan, kronisme, dan kecuaian pengurusan masih terus menjadi antara tajuk berita utama.
Baginda turut menyentuh peranan kartel menguasai bekalan makanan asas, menjadikan rakyat tebusan dalam permainan keuntungan segelintir pihak. Kita bukan lagi hanya berdepan rasuah dalam pejabat kerajaan, tetapi ekosistem penyelewengan yang menyentuh kehidupan seharian: harga ayam, ikan, beras dan barangan dapur.
Laporan media tentang tanah diteroka secara haram, pusat judi dan rumah urut beroperasi tanpa lesen, kilang haram wujud tanpa kawalan — semua ini bukan isu terpencil. Ia menunjukkan wujud kelonggaran penyeliaan, malah ada yang bertanya: adakah penguatkuasaan itu sekadar slogan?
Sultan Nazrin juga mengingatkan betapa projek awam terbengkalai, kontraktor gagal, peralatan tidak berfungsi dan perolehan melepasi harga pasaran bukan lagi perkara luar biasa.
Setiap kegagalan projek itu bukan hanya angka, tetapi kerugian terhadap wang rakyat — dana yang sepatutnya meningkatkan kesejahteraan.
Lebih berat lagi, negara pernah diaibkan di peringkat antarabangsa dengan skandal kewangan besar yang masih menjadi luka terbuka. Walaupun kerajaan berjaya mendapatkan kembali sebahagian dana, kesan terhadap kepercayaan tidak pulih semudah itu.
Kita boleh mentafsirkan segala bahan kandungan berita itu sebagai cermin yang memaksa kita melihat diri sendiri tanpa topeng.
Dalam titahnya, Sultan Nazrin juga mengingatkan sejarah kejatuhan Kesultanan Melaka — bukan semata-mata kerana serangan Portugis, tetapi akibat pengkhianatan dan perebutan kuasa dari dalam.
Sejarah itu bukan kisah lama yang hanya tercatat dalam buku teks. Ia amaran tentang apa yang berlaku apabila integriti hilang dan amanah diabaikan.
Jika kita tidak belajar daripada sejarah, seperti kata ahli falsafah George Santayana, kita akan mengulanginya. Dan persoalannya sekarang: tidakkah tanda-tanda itu sudah kelihatan?
Mungkin titah itu perlu diterjemahkan kepada tindakan, bukan sekadar tepukan hormat dalam majlis. Ia memerlukan pembaharuan struktur — bukan kosmetik.
Pertama, penguatkuasaan undang-undang mesti bebas daripada campur tangan politik. Institusi integriti tidak boleh bergantung kepada keselesaan pentadbiran mana-mana kerajaan yang memerintah.
Kedua, kontrak kerajaan perlu melalui penilaian ketat dan rekodnya wajib telus serta boleh diakses oleh orang awam. Ketelusan adalah vaksin paling ampuh terhadap penyelewengan.
Ketiga, pendidikan integriti tidak boleh sekadar slogan dalam poster di sekolah atau pejabat. Ia mesti dipraktikkan secara hidup dan ditunjukkan melalui teladan pemimpin.
Keempat, rakyat sendiri perlu menolak budaya ‘boleh bincang’. Normalisasi rasuah kecil akhirnya melahirkan rasuah besar.
Jika kita terus memilih diam, maka kita menjadi sebahagian daripada masalah.
Titah Sultan Nazrin datang pada waktu yang sangat tepat — ketika negara menghadapi tekanan ekonomi, peningkatan kos sara hidup dan kemerosotan kepercayaan rakyat terhadap sistem. Ini bukan masa untuk menafikan atau menuding jari.
Malaysia masih ada harapan, tetapi harapan itu datang hanya jika keberanian moral wujud.
Oleh itu, hayatilah titah ini bukan sekadar sebagai ucapan diraja, tetapi sebagai peringatan supaya negara tidak menjejaki jejak sejarah yang pernah meruntuhkan empayar gemilang.
Masa untuk berubah bukan esok. Ia sepatutnya bermula sekarang.
Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.