
Ketua Polis Johor M Kumar, berkata operasi khas itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman pada kira-kira 7.30 malam 14 Jun hingga 5 pagi, 15 Jun.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Mutiara Rini, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun dan wanita warga Vietnam berusia 34 tahun.
“Hasil pemeriksaan, polis merampas 2.67kg serbuk dipercayai dadah jenis ekstasi dan 368g dadah disyaki ganja,” katanya pada sidang media.
Susulan tangkapan itu, polis melancarkan serbuan kedua di sebuah lagi rumah teres kira-kira satu kilometer dari lokasi pertama yang turut disewa suspek lelaki sama, sejak Mei 2024 dan menahan wanita warga Vietnam berusia 23 tahun.
“Dalam serbuan kedua ini, polis merampas 38kg serbuk ekstasi serta 1.37kg ketamin,” katanya.
Dalam kedua-dua serbuan itu, polis turut merampas dua kereta bernilai RM190,000, wang tunai RM49,150 serta pelbagai barang kemas bernilai RM17,630, jumlah keseluruhan sitaan ialah RM265,615.
Beliau berkata, kedua-dua wanita warga asing itu dipercayai masuk ke negara ini secara sah, namun siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap dokumen perjalanan mereka.
Sindiket berkenaan dipercayai beroperasi secara terancang termasuk menggunakan media sosial dan penghantaran melalui ‘runner’ dan polis percaya masih terdapat ahli yang bebas di luar sana dengan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan mereka.
Selain menjadi tempat kediaman, rumah pertama dipercayai digunakan sebagai tempat menyimpan dadah, manakala rumah kedua sebagai lokasi pembungkusan serbuk dadah kepada peket kecil yang dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan pada harga RM250 hingga RM350.
Kumar berkata, hasil ujian air kencing mendapati lelaki terbabit positif methamphetamine, manakala dua wanita warga asing masing-masing positif ketamin dan benzodiazepina.
Semua mereka direman hingga 26 Jun untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.