662 Pati dicekup dalam operasi bersepadu di Klang

662 Pati dicekup dalam operasi bersepadu di Klang

Operasi sehingga 12.30 tengah malam tadi itu membabitkan pemeriksaan di sembilan blok rumah kedai di kawasan perindustrian Pulau Indah, Klang.

Pengarah JIM Selangor Khairul Aminus Kamaruddin (tengah) bersama pegawainya memeriksa dokumen warga asing yang ditahan dalam operasi bersepadu malam tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menahan 662 pendatang tanpa izin (Pati) dalam operasi bersepadu di kawasan perindustrian Pulau Indah, Klang, tengah malam tadi.

Operasi bermula 9.30 malam sehingga 12.30 tengah malam itu dilakukan bersama beberapa agensi termasuk polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Dalam operasi itu juga, ada Pati dilaporkan bertindak nekad terjun dari tingkat tiga, berendam dalam saluran kumbahan dan menyorok di rumah sampah bagi mengelakkan dicekup pihak berkuasa terbabit.

Pengarah JIM Selangor, Khairul Aminus Kamarudin, berkata operasi itu membabitkan pemeriksaan di sembilan blok rumah kedai terdiri daripada lebih 100 premis selepas melakukan risikan selama empat bulan.

“Daripada 1,132 individu yang diperiksa, kita menahan 662 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen. Mereka terdiri daripada 643 lelaki dan 19 perempuan berusia 16 hingga 80 tahun.

“Semua yang ditahan melibatkan warga Indonesia (643), Bangladesh (150), Pakistan (35), Myanmar (36), Nepal (24) dan India (10),” katanya pada sidang media, menurut Harian Metro.

Beliau berkata semua yang ditahan dibawa ke Pejabat JIM Selangor untuk dokumentasi sebelum dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih.

Katanya, antara kesalahan yang dikesan ialah tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa serta menggunakan kad tidak diiktiraf.

“Pemeriksaan juga mendapati ada asrama pekerja asing yang tidak terurus dan perkara itu akan dirujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk tindakan lanjut,” katanya.

“Tindakan diambil selaras dengan Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Kita juga ingin mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi Pati kerana tindakan tegas boleh diambil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.