
Penasihat Lawyers for Liberty, N Surendran, memaklumkan keluarga Datchinamurthy menerima panggilan dari pihak penjara tengah malam tadi memaklumkan perkembangan itu.
“Kami tiada maklumat lanjut buat masa ini. Kami mendoakan hasil terbaik,” katanya kepada FMT.
Datchinamurthy dijadualkan menjalani hukuman mati hari ini atas kesalahan menyeludup 44.96g diamorfin ke Singapura.
Dia ditahan pada 2011 dan dijatuhkan hukuman mati pada 2015. Pelaksanaan hukuman yang sepatutnya berlangsung 2022 ditangguhkan selepas dia mendapat penangguhan sementara susulan tindakan undang-undang terhadap kerajaan Singapura berhubung hukuman itu.
Datchinamurthy antara empat banduan akhir dari Malaysia. Awal bulan ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia menyeru kerajaan campur tangan dalam kes mereka.
Tiga lagi individu yang turut berada dalam situasi sama ialah P Pannir Selvam, S Saminathan dan R Lingkesvaran.
Pada Januari 2024, Mahkamah Tinggi Singapura menolak permohonan dua Peguam Diraja mewakili Saminathan, Datchinamurthy dan Lingkesvaran dalam rayuan mereka terhadap sabitan serta hukuman mereka.
Straits Times melaporkan mahkamah menolak permohonan Theodoros Kassimatis dari Australia dan Edward Fitzgerald dari Britain untuk diterima masuk ke Badan Peguam Singapura secara ad hoc bagi mewakili tiga banduan itu.
Selasa lalu, polis Singapura dilaporkan sedang menyiasat sekumpulan individu hadir di kediaman rasmi presiden untuk menyerahkan dua surat memohon pengampunan bagi empat banduan itu.