
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata TPR itu dipinjamkan kepada agensi itu oleh AGC minggu lalu, dan SPRM tidak mempunyai kuasa untuk menggantung tugasnya.
“Itu adalah untuk peguam negara (membuat keputusan), tetapi kami akan membincangkan perkara itu. Biasanya dalam kes seperti ini, saya akan mencadangkan pegawai itu digantung tugas.
“Saya sendiri akan mencadangkan kepada peguam negara agar pegawai ini dilepaskan daripada tugasnya buat masa ini supaya dia tidak mengendalikan sebarang pendakwaan di mahkamah sementara kesnya sedang berjalan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ditanya sama ada tapisan latar belakang dilakukan sebelum pegawai itu menyertai SPRM, Azam berkata ia bukan di bawah bidang kuasa agensi itu.
“Dia sudah berkhidmat dengan AGC, yang saya jangkakan sudah melakukan semua proses saringan.”
Pagi ini, SPRM mengesahkan penahanan TPR itu, yang baru melapor diri di agensi berkenaan minggu lalu.
Dia ditahan oleh polis di rumahnya semalam, manakala serbuan di tempat kejadian menemui bahan yang dipercayai dadah.
Suspek direman tiga hari sehingga esok.