3 pegawai imigresen bebas tuduhan seludup migran di KLIA

3 pegawai imigresen bebas tuduhan seludup migran di KLIA

Pesuruhjaya Kehakiman Wendy Ooi memutuskan bahawa pihak pembela berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwa.

shah alam court
Tiga pegawai imigresen termasuk seorang wanita itu didakwa melakukan kesalahan itu pada 2017.
SHAH ALAM:
Mahkamah Tinggi hari ini membebaskan tiga pegawai imigresen termasuk seorang wanita, daripada tuduhan melibatkan penyeludupan sembilan pendatang warga Bangladesh di KLIA, lapan tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Wendy Ooi, yang berkata beliau melakukan penilaian bebas dan komprehensif terhadap semua bukti yang dikemukakan ketika perbicaraan, memutuskan bahawa pihak pembela berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwa.

Maizatul Azwa Nasib, 32, Hairulnizam Hasim, Zamir Hazwan Hamid, 42, didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 3 petang hingga 10 malam pada 17 Julai 2017, dan sekali lagi pada jam 10 malam, 18 Julai 2017 hingga 8 pagi keesokannya.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. Masing-masing dibenarkan jaminan RM10,000 sehingga rayuan hari ini selesai.

Pada 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Yazid Mustafa membebaskan mereka tanpa dipanggil membela diri.

Pendakwaan kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan itu, dan tahun lalu Mahkamah Rayuan memerintahkan mereka membela diri selepas mendapati tuduhan terhadap mereka tidak cacat.

Peguam Harpal Singh mewakili Maizatul dan Hairulnizam manakala Rajpal Singh hadir bagi pihak Zamir. Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nur Suriati Mohamad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.