
Pengasas Yayasan Chow Kit, Hartini Zainudin, menzahirkan rasa terganggu dan berang dengan pembebasan pemimpin GISBH pada Jumaat berikutan hukuman penjara 15 bulan bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 2024.
Hartini menuntut AGC menjelaskan asas tawaran pertuduhan pilihan mengganggotai pertubuhan menyalahi undang-undang — yang mana semua 22 tertuduh mengaku bersalah — berbanding mengekalkan pertuduhan awal sebagai ahli kumpulan jenayah terancang.
“Adakah terdapat kelemahan dalam pembuktian? Adakah ini rundingan pengakuan? Atas alasan apa? Orang awam berhak mendapat ketelusan, terutamanya melibatkan nyawa dan keselamatan kanak-kanak.
“Tidak dapat difahami mengapa sebuah pertubuhan dengan sejarah penyalahgunaan, disiasat polis, dan mengundang kebimbangan nasional yang didokumentasikan sedemikian rupa, dilayan seperti pesalah kecil. Ini menetapkan duluan bahaya,” katanya kepada FMT.
Hartini juga meminta AGC dan polis menjelaskan sama ada masih terdapat siasatan aktif terhadap GISBH, terutamanya mengenai dakwaan penderaan, kurungan salah, dan eksploitasi kanak-kanak serta wanita.
“Sehingga kini, tiada pendedahan jelas mengenai berapa ramai kanak-kanak yang ditemu bual secara rasmi, berapa ramai pelaku didakwa atas kesalahan penderaan kanak-kanak atau kesalahan seksual, atau apa yang berlaku kepada pengurusan rumah kebajikan itu,” katanya.
“Jika siasatan telah ditutup, orang awam berhak tahu mengapa. Jika ia masih terbuka, orang awam berhak mendapat jaminan keadilan masih berjalan.”
Hartini berkata, pihak berkuasa perlu meneliti semula rangkaian kemudahan dikaitkan dengan GISBH di seluruh negara.
Pada 30 Okt, AGC menerima representasi 22 tertuduh untuk berdepan pertuduhan pilihan menjadi ahli pertubuhan menyalahi undang-undang di bawah Akta Pertubuhan 1966, memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000, atau kedua-duanya.
Sebelum ini, semua tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang boleh dihukum penjara lima hingga 20 tahun apabila disabitkan kesalahan.
Sekitar 560 kanak-kanak telah diselamatkan dari rumah kebajikan terkait GISBH tahun lalu, dengan 536 daripadanya disatukan semula dengan keluarga, 11 diletakkan di bawah jagaan penjaga, manakala 13 lagi belum dituntut sehingga Januari tahun ini.
Menurut Ketua Polis Negara ketika itu, Razarudin Husain, siasatan menunjukkan sekurang-kurangnya 13 kanak-kanak diliwat. Beliau berkata, terdapat juga sebahagian mereka diajar melakukan serangan seksual ke atas orang lain.
Dilaporkan, Razarudin berkata kanak-kanak diselamatkan itu telah diserahkan ke rumah kebajikan tersebut ketika berusia dua tahun, dan mereka mempunyai kaitan dengan individu terlibat dengan GISBH.
Rayu hukuman 15 bulan penjara dari tarikh tangkap
Hartini menggesa AGC merayu hukuman penjara 15 bulan bermula tarikh tangkapan dengan menyatakan perintah itu menjejaskan keyakinan awam dan moral pegawai yang menyiasat pemimpin GISBH ini.
“Keadilan bukan sahaja mengenai menghukum individu, ia juga mengenai memulihkan kepercayaan awam bahawa mereka mengeksploitasi atau membahayakan kanak-kanak akan dipertanggungjawabkan pada tahap sepenuhnya. Hukuman 15 bulan bermula tarikh tangkap membawa kepada pembebasan serta-merta adalah sama dengan kekebalan,” katanya.
Beliau juga meminta maklumat lanjut mengenai kebajikan 560 kanak-kanak berkenaan, sambil menegaskan ramai daripada mereka ditemui dalam keadaan terabai dan tanpa dokumen sah ketika diselamatkan.
Hartini berkata, adalah penting kanak-kanak ini dipantau secara berkala bagi memastikan mereka tidak lagi menjadi mangsa kepada pesalah sama, dan mereka hanya disatukan semula dengan ahli keluarga ‘disahkan selamat’.
Menurutnya, kes GISBH mendedahkan kelemahan serius dalam koordinasi antara agensi dan penguatkuasaan dalam hal melindungi kanak-kanak, terutama di rumah kebajikan tidak berdaftar.
Beliau mahu Parlimen menuntut kajian semula terhadap keputusan melibatkan 22 pemimpin GISBH itu dan meneliti sama ada siasatan atau pendakwaan yang lemah turut menyumbang pertuduhan lebih ringan.
“Apabila ratusan kanak-kanak didera di rumah kebajikan tidak berdaftar yang beroperasi di bawah payung korporat-keagamaan, ia bukan kegagalan terpencil — ia kegagalan sistemik.
“Jika kita tidak dapat memastikan keadilan untuk kanak-kanak diselamatkan daripada eksploitasi sistemik, kita telah gagal sebagai sebuah negara. Gagal mutlak sepenuhnya.”