
Majlis presiden GRS menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada perdana menteri, menyifatkan pendekatan beliau berteraskan keterangkuman, keterbukaan dan keprihatinan terhadap aspirasi rakyat Sabah.
Ia turut menyorot perhatian kepada kejayaan memperoleh 13 daripada 29 tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dalam libat urus antara kerajaan GRS dan Anwar sepanjang tempoh tiga tahun lalu.
Maka, ia menggesa kerajaan persekutuan agar tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Okt lalu, yang memutuskan kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan selama hampir lima dekad.
Hakim Celestina Stuel Galid mengisytiharkan pemberian khas yang dibuat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri adalah ‘tidak sah, ultra vires dan tidak rasional,’ serta melanggar Perlembagaan.
Majlis presiden GRS kata kerajaan negeri bersedia untuk mengadakan rundingan bermakna dengan kerajaan persekutuan selaras dengan perintah mahkamah bagi melaksanakan semakan dan memuktamadkan perjanjian mengenai jumlah yang sewajarnya diterima oleh Sabah.
“Kami menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan persekutuan agar tidak merayu keputusan tersebut. Mahkamah tidak mengenakan sebarang penalti kewangan — sebaliknya hanya mengarahkan supaya semakan perlembagaan yang tertangguh sekian lama dilaksanakan selaras dengan Perkara 112C dan 112D.
“Untuk merayu keputusan ini bererti menolak proses rundingan itu sendiri, bukan hasilnya,” menurut kenyataan.
“Biarlah detik ini menjadi titik permulaan di mana kerajaan persekutuan bukan sahaja menunaikan janjinya, tetapi juga mula menyembuhkan luka akibat puluhan tahun rasa terpinggir yang dialami oleh rakyat Sabah. Perdana menteri akan dikenang oleh seluruh rakyat Sabah dan Malaysia sebagai seorang pemimpin yang benar-benar prihatin.”
Dalam pada itu, majlis presiden GRS menegaskan perkara ini bukan sekadar isu perundangan, ia soal maruah Perlembagaan yang mana Perkara 112C dan 112D bersama MA63 merupakan asas utama kepada persetujuan Sabah dalam pembentukan Malaysia.
“Penghakiman ini hanyalah pelaksanaan terhadap apa yang telah sekian lama termaktub dan dipersetujui,” katanya.
Ia turut menerangkan kesan ke atas rakyat apabila hak Sabah tidak disalurkan sepenuhnya, yang sekian lama hidup dengan gangguan bekalan elektrik, jalan raya yang tidak berturap, dan klinik tanpa doktor.
Majlis presiden menegaskan tekad GRS yang mutlak dan tidak berkompromi dalam memperjuangkan segala hak Sabah bahawa Perlembagaan serta MA63.
“Apabila lampu terpadam di bilik darjah seorang anak, apabila seorang ibu terpaksa berjalan berjam-jam untuk ke hospital, apabila golongan muda meninggalkan negeri ini kerana tiada masa depan di sini — semua itu bukan sekadar angka statistik. Ia kesan nyata daripada ketidaksamarataan yang telah berlarutan selama beberapa dekad.
“Tuntutan Sabah bukanlah satu permintaan, tetapi satu hak. Ia merupakan tanggungjawab perlembagaan yang melangkaui kerajaan dan penggal politik. Menegakkannya membuktikan bahawa Malaysia ditadbir berasaskan undang-undang dan kejujuran, bukan atas dasar keselesaan atau kemudahan,” katanya.