Ibu Zayn Rayyan mohon tangguh hukuman penjara

Ibu Zayn Rayyan mohon tangguh hukuman penjara

Ismanira Abdul Manaf failkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu, bersama sijil tindakan segera.

Ismanira Abdul Manaf
Ismanira Abdul Manaf yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang memfailkan notis rayuan bagi mencabar sabitannya dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ibu kepada kanak-kanak autistik berusia enam tahun, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang didapati bersalah mengabaikan anaknya itu, memohon hukuman penjara lima tahun ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Peguam Haresh Mahadevan, berkata permohonan anak guamnya, Ismanira Abdul Manaf difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu, bersama sijil tindakan segera.

“Kami mengemukakan keadaan khas untuk membolehkan Mahkamah Tinggi meluluskan permohonan ini sementara menunggu keputusan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen,” katanya kepada FMT.

Pada Isnin, Ismanira memfailkan notis rayuan bagi mencabar sabitannya dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya.

Hakim perbicaraan, Syahliza Warnoh, dalam penghakiman pada 31 Okt, menolak permohonan terdahulu Ismanira untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman, dengan alasan tiada keadaan istimewa yang membenarkannya.

Ismanira, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, turut diperintahkan menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin serta deposit jaminan sebanyak RM3,000.

Selain itu, dia juga dikehendaki menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan.

Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, didakwa tahun lalu kerana mengabaikan anak mereka dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Dakwaan pengabaian kanak-kanak itu dikemukakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda maksimum RM50,000, atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Zaim telah dibebaskan pada Julai lalu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Zayn dilaporkan hilang di Damansara Damai pada 5 Dis 2023, sebelum ditemui mati keesokan harinya.

Hasil bedah siasat menunjukkan pelbagai kecederaan, termasuk kecederaan mempertahankan diri. Punca kematian dipercayai akibat cekik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.