
Lee, Ahli Parlimen Petaling Jaya, berkata penghakiman itu mencerminkan nilai belas ihsan, hormat, dan kepercayaan seperti dijunjung kerajaan Madani.
“Keputusan merayu berisiko menjejaskan keyakinan awam terhadap nilai-nilai yang kerajaan berjanji untuk pertahankan,” katanya dalam kenyataan.
Pada Rabu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam keputusannya memerintahkan kerajaan dan polis membayar lebih RM37 juta atas penglibatan pihak kerajaan dalam penculikan Pastor Raymond Koh.
Koh diculik pada 13 Feb 2017 semasa memandu di sepanjang Jalan SS4B/10 di Petaling Jaya. Semasa perbicaraan, mahkamah telah dimaklumkan lima lelaki bertopeng berpakaian seragam tentera hitam menarik Koh keluar dari keretanya.
Hakim Su Tiang Joo juga memerintahkan kerajaan dan polis membayar lebih RM3 juta kepada keluarga aktivis Amri Che Mat atas kegagalan menjalankan siasatan sewajarnya berhubung kehilangannya.
Amri, pengasas NGO Perlis Hope, meninggalkan rumahnya kira-kira 11.30 malam pada 24 Nov 2016. Keretanya ditemui di tapak pembinaan di Sekolah Sukan Bukit Cabang di Perlis pada awal pagi keesokan harinya.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata pihaknya akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan kerajaan dan polis membayar jumlah keseluruhan melebihi RM40 juta kepada kedua-dua keluarga itu.
Keputusan untuk merayu itu turut dikritik bekas Ahli Parlimen Kua Kia Soong, yang menyifatkannya sebagai tidak dapat diterima dan satu pengkhianatan terhadap keadilan, belas ihsan, dan prinsip diperjuangkan kerajaan.
Lee berkata, keputusan mahkamah itu mengesahkan keluarga Koh dan Amri berhak mendapat pampasan atas penderitaan dan kehilangan ditanggung sejak lapan tahun lalu.
Beliau berkata, keputusan itu juga memperkukuh prinsip pihak berkuasa memikul tanggungjawab dari segi undang-undang dan moral menyiasat pencabulan sedemikian dengan sewajarnya, segera, dan telus.
Beliau berkata, keputusan tersebut menarik perhatian antarabangsa dengan saluran media global secara meluas melaporkan mengenai kes berkenaan.
“Dunia kini memerhati untuk melihat bagaimana kerajaan Malaysia akan bertindak balas – dengan belas ihsan, integriti, dan menghormati keadilan.”