
Timbalan Menterinya Fuziah Salleh mengesahkan penguatkuasaan itu akan dilaksanakan mulai 1 Julai depan.
“KPDN akan laksanakan Ops Kesan 4.0 bermula 1 Julai,” katanya kepada FMT tanpa memberikan butiran lanjut.
Baru-baru ini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican dilaporkan FMT berkata kerajaan akan meningkatkan penguatkuasaan untuk mencegah aktiviti pencatutan susulan peluasan skop SST bermula 1 Julai ini.
Menurutnya, langkah itu untuk melindungi orang ramai daripada pihak cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan tidak munasabah.
Jelas Johan, pada masa sama turut disediakan alternatif penjualan barangan keperluan asas pada harga berpatutan dikendalikan KPDN menerusi program Jualan Rahmah Madani.
Inisiatif sama turut dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi Jualan Agro Madani.
Pada 9 Jun, Kementerian Kewangan memaklumkan kadar cukai sifar bagi keperluan asas dikekalkan manakala kadar antara 5% hingga 10% dikenakan ke atas barangan bukan keperluan.
Cukai perkhidmatan (ST) pula akan diperluaskan merangkumi sewaan, pajakan, pembinaan, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan swasta dan pendidikan.
Bagaimanapun, perkhidmatan terutama membabitkan warga Malaysia terus dikecualikan ST antaranya jagaan kesihatan awam dan swasta.
Sewaktu pengenalan semula SST susulan pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 2018, kerajaan melancarkan Ops Catut 5.0 bagi menangani isu peniaga mengambil untung barangan atau perkhidmatan secara berlebihan.
Tahun lalu, KPDN mengerakkan Ops Kesan untuk memantau dampak pelarasan SST daripada 6% kepada 8%.
Bawah Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan (AKHAP) 2011, individu mengenakan margin keuntungan tidak munasabah boleh didenda maksimum RM100,000 dan RM250,000 jika mengulangi kesalahan itu selain penjara.
Syarikat pula berdepan denda maksimum RM500,000 atau RM1 juta bagi kesalahan berulang.