
Menterinya, Armizan Mohd Ali berkata, anggaran tersebut dibuat berdasarkan data SKPS diintegrasikan bersama sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekali gus menekankan kepentingan permohonan pendaftaran itu dalam usaha KPDN mengawal selia mekanisme penyaluran subsidi untuk kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan.
Bagaimanapun setakat ini, katanya, jumlah kenderaan syarikat daripada kedua-dua sektor yang membuat permohonan pendaftaran bermula Isnin lepas masih rendah, iaitu hanya sekitar 154 syarikat merangkumi 335 kenderaan.
Beliau berkata, 70 syarikat melibatkan 240 kenderaan adalah daripada sektor pengangkutan darat awam manakala selebihnya, iaitu 84 syarikat dengan 95 kenderaan, daripada sektor pengangkutan darat barangan.
“Walaupun tiada tarikh tutup, namun saya menggesa syarikat-syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang layak supaya membuat pendaftaran segera bagi memastikan mereka mendapat manfaat subsidi ini pada hari pertama ia dilaksanakan,” katanya.
Ahli Parlimen Papar itu berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Lok Kawi Height, Kinarut, yang merupakan antara PPS beroperasi bagi menempatkan penduduk terjejas banjir dan tanah runtuh di daerah itu.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang layak juga perlu memohon ‘Fleet Card’ daripada tiga syarikat minyak pilihan selepas proses permohonan pendaftaran menerusi SKPS selesai.
“Kita harap supaya semua kenderaan syarikat pengangkutan darat awam dan barangan memanfaatkan subsidi petrol RON95 ini kerana mereka menawarkan perkhidmatan kepada pengguna. Kemudahan subsidi ini pada akhirnya akan mengurangkan impak kepada pengguna secara keseluruhannya,” katanya.
Permohonan pendaftaran SKPS boleh dibuat menerusi pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my.