
Kementerian itu menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya sedang melalui sesi libat urus dan semakan teknikal bersama pihak berkepentingan.
Menurutnya, makanan haiwan dan komponen utama dalam penghasilan makanan haiwan iaitu kacang soya mentah telah dikecualikan SST berikutan maklum balas industri.
“Bagi bahan mentah lain yang turut digunakan dalam formulasi makanan haiwan, MoF sedang meneliti isu ini secara menyeluruh.
“Kerajaan Madani kekal tekad untuk memastikan dasar percukaian yang lebih adil, mampan, dan menyokong daya saing sektor penternakan negara,” katanya.
Terdahulu, Persatuan Pengimport Komoditi untuk Makanan Haiwan Malaysia (ACIAFM) menyeru kerajaan memberi pengecualian SST ke atas bahan mentah makanan ternakan tertentu bagi mengelak kesan rantaian kepada harga barang keperluan asas rakyat.
Presiden Chong Kam Weng berkata, pihaknya telah memaklumkan risiko kenaikan kos pengeluaran akibat cukai tersebut ketika pertemuan dengan Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, Ogos lalu.
Menurutnya, ketika ini 30% bahan mentah makanan haiwan seperti kacang soya, gandum pollard, hampas canola, dan campuran vitamin dikenakan SST 5%.