
Katanya, pemilik rumah sedia ada yang mempunyai pinjaman berkadar terapung secara amnya akan menikmati bayaran ansuran bulanan lebih rendah.
“Keadaan ini akan turut memberi ruang kewangan bagi menyokong perbelanjaan yang lain. Pembeli rumah juga berpeluang mendapat manfaat daripada kadar pinjaman baharu yang lebih rendah sejajar dengan pengurangan OPR,” katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Ia menjawab soalan Senator Ros Suryati Alang mengenai kewajaran penurunan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75% oleh Bank Negara (BNM) akan meningkatkan kemampuan memiliki rumah.
Bagaimanapun, katanya faktor lain termasuk profil risiko peminjam akan menentukan kos pinjaman secara menyeluruh.
Menurut kementerian, kemampuan pemilikan rumah dipengaruhi oleh harga perumahan, termasuk ketersediaan rumah mampu milik serta kemampuan isi rumah untuk membayar balik pinjaman perumahan.
“Data menunjukkan sebahagian besar rumah baharu yang dilancarkan berada di luar julat harga mampu milik maksimum, dengan hanya 31.6% daripada jumlah unit yang dilancarkan pada 2024 berharga bawah RM300,000,” katanya.
Katanya, harga rumah yang terlalu tinggi ini melebihi kemampuan pendapatan isi rumah, sekali gus mencerminkan ketidakseimbangan antara permintaan dan penawaran di pasaran perumahan.
Selain itu, katanya pendapatan dan simpanan yang terhad atau tidak mencukupi dalam kalangan isi rumah turut menjadi faktor utama menghalang pemilikan rumah.
Sehubungan itu, katanya kerajaan dengan kerjasama BNM dan institusi kewangan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan keupayaan rakyat memiliki rumah termasuk Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan rumah pertama.