KPDN terima 2 aduan harga barangan SARA, MyKasih naik, hanya silap teknikal

KPDN terima 2 aduan harga barangan SARA, MyKasih naik, hanya silap teknikal

Isu berpunca daripada kesilapan peruncit ketika urus sistem kod barangan, kata Ketua Setiausaha KPDN Mohd Sayuthi Bakar.

SARA BANTUAN 100
KPDN tingkat pemantauan ke atas premis runcit terlibat dengan program SARA, agar tiada peniaga ambil kesempatan kaut untuk berlebihan, kata Ketua Setiausaha Mohd Sayuthi Bakar.
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima dua aduan berkaitan kenaikan harga barangan di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan MyKasih.

Ketua Setiausaha KPDN Mohd Sayuthi Bakar berkata, berdasarkan siasatan, perkara itu berpunca daripada kesilapan teknikal peruncit ketika menguruskan sistem kod barangan, namun isu terbabit telah diperbetul.

“Kita (KPDN) telah meningkatkan pemantauan,” katanya kepada pemberita selepas menutup Program Jelajah Karnival KPDN 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Sarawak di Kuching Waterfront, lapor Bernama.

“Semua pegawai penguat kuasa negeri telah diarahkan beri tumpuan khusus kepada kedai yang terlibat dengan program ini supaya tiada peniaga ambil kesempatan kaut keuntungan berlebihan.”

Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak wajar, berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, tambahnya.

Dalam pada itu, Mohd Sayuthi berkata, program jelajah dan KBBM merekodkan nilai jualan keseluruhan lebih RM500,000 setakat ini, termasuk Jualan Rahmah berjumlah RM180,000 semalam.

Katanya, program yang menarik kehadiran kira-kira 35,000 pengunjung setakat petang tadi turut mencatat jualan kenderaan oleh rakan strategik, dengan dua kereta terjual pada hari pertama.

“Kita tidak tetapkan sasaran jualan kerana matlamat utama adalah memberi peluang orang ramai dapatkan barangan mampu milik serta mengetahui inisiatif disediakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.