
Johan berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memainkan peranan itu untuk melindungi orang ramai daripada pihak cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan tidak munasabah.

Katanya, pada masa sama turut disediakan alternatif penjualan barangan keperluan asas pada harga berpatutan dikendalikan KPDN menerusi program Jualan Rahmah Madani dan Jualan Agro Madani bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Tahun lalu ketika semakan SST, pelarasan subsidi elektrik serta diesel dan (kenaikan) tarif air, KPDN aktif memantau harga di kedai runcit dan pasar raya.
“Aktiviti penguatkuasaan akan dipertingkat (susulan peluasan skop SST) selain Jualan Rahmah Madani dan Agro Madani ditawarkan sebagai alternatif harga berpatutan,” katanya dalam temu bual FMT.
Johan mengulas langkah diambil kerajaan untuk mengatasi inflasi yang dibimbangi akibat aktiviti pencatutan.
Minggu lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan kadar cukai sifar bagi keperluan asas dikekalkan manakala kadar antara 5% hingga 10% dikenakan ke atas barangan bukan keperluan.
Cukai perkhidmatan (ST) pula akan diperluaskan merangkumi sewaan, pajakan, pembinaan, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan swasta dan pendidikan.
Bagaimanapun, perkhidmatan terutama membabitkan warga Malaysia terus dikecualikan ST antaranya jagaan kesihatan awam dan swasta.
Sewaktu pengenalan semula SST susulan pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 2018, kerajaan melancarkan Ops Catut 5.0 bagi menangani isu peniaga mengambil untung barangan atau perkhidmatan secara berlebihan.
Tahun lalu, KPDN mengerakkan Ops Kesan untuk memantau dampak pelarasan SST daripada 6% kepada 8%.
Bawah Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan (AKHAP) 2011, individu mengenakan margin keuntungan tidak munasabah boleh didenda maksimum RM100,000 dan RM250,000 jika mengulangi kesalahan itu selain penjara.
Syarikat pula berdepan denda maksimum RM500,000 atau RM1 juta bagi kesalahan berulang.