
Ketua Polis Setiu Mohd Zain Mat Dris, berkata lelaki yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental berumur 59 tahun itu dijumpai tiga anggota polis yang kebetulan melalui jalan berkenaan.
“Anggota terbabit melihat lelaki itu sedang duduk dalam keadaan tidak bermaya di tepi jalan dengan memakai kain pelikat dan tuala warna merah serta tidak berbaju.
“Polis terus membawa lelaki itu ke Unit Kecemasan Hospital Setiu untuk rawatan, tetapi telah disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya menurut Bernama.
Zain berkata, mengikut rekod, lelaki dari Raub itu menghidap penyakit lelah dan kencing manis kronik.
Beliau berkata, tiada kesan atau unsur jenayah ditemukan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
“Si mati ialah orang pengawasan polis (OPP) yang diletakkan di bawah pengawasan Balai Polis Penarik untuk tempoh setahun bermula pada 11 April lepas hingga 11 April tahun depan, namun dia telah melanggar syarat pengawasan apabila tidak hadir melaporkan diri ke balai sejak 6 Jun seperti ditetapkan.
“Usaha mengesannya telah dilakukan sebelum ini, namun gagal sehinggalah dia dijumpai pagi tadi.”