
Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, berkata pihaknya menerima maklumat membabitkan tahanan berusia 46 tahun itu yang dilaporkan tidak sedarkan diri selepas dikejutkan tahanan lain pada 6.30 petang.
Beliau berkata, lelaki itu ditahan dua hari lalu atas kesalahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, berkaitan curi motosikal dan dibawa ke depan majistret dalam keadaan sihat bagi permohonan reman serta tiada sebarang aduan kepada majistret atau Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
“Pasukan perubatan mengesahkan kematiannya di lokasi. Polis telah memaklumkan perkara itu kepada ahli keluarga mangsa dan siasatan segera dilakukan.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan hampir tujuh jam bermula 10 pagi tadi di Hospital Rembau mendapati tiada sebarang kecederaan dalaman dan luaran pada badan mangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Alzafny berkata, setakat ini, polis masih menunggu laporan penuh daripada hospital bagi mengenal pasti punca sebenar kematian yang dilihat masih memerlukan keputusan ujian kimia.
Menurutnya, semakan kamera litar tertutup (CCTV) di lokap tidak menunjukkan sebarang pergaduhan atau pergerakan mencurigakan sehingga menyebabkan kematian.
“Siasatan dalaman sedang dijalankan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
“Polis komited terhadap prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan keadilan dalam menangani sebarang insiden sebegini.”
Justeru, beliau meminta orang ramai memberi ruang untuk siasatan dijalankan dengan telus dan tidak membuat sebarang spekulasi boleh mengganggu proses undang-undang.