
Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata hasil pemeriksaan forensik ke atas mayat itu mendapati, mangsa meninggal dunia disyaki kerana dipukul objek tumpul.
“Siasatan mengesahkan mangsa seorang lelaki dewasa, namun butiran identitinya belum dapat dipastikan,” katanya kepada pemberita.
Abang Zainal berkata setakat ini, belum ada tangkapan dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Semalam, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun menemukan satu bungkusan disyaki mengandungi mayat di kawasan sungai berhampiran Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Kerawat, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di sini.
Siasatan awal polis di tempat kejadian bersama Unit Forensik IPK Perak telah mengesahkan terdapat satu bungkusan tersangkut pada batang pokok di tepi sungai, disyaki mengandungi mayat dan identiti mangsa masih belum diketahui.
Sementara itu, mayat satu lelaki ditemukan di anak sungai di kawasan Air Rengat, Temenggor dekat Gerik pagi tadi.
Ketua Polis Gerik Abdul Samad Othman, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu kira-kira 9.10 pagi daripada polis bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Temenggor.
“Hasil siasatan awal mendapati kira-kira 8.25 pagi seorang lelaki Orang Asli berumur 32 tahun ternampak mayat berada di dalam sungai ketika melalui kawasan berkenaan.
“Pengadu kemudian bergegas ke Pengkalan Trojan, Temenggor untuk memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis bantuan TNB,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sepasukan anggota polis dari IPD Gerik yang tiba di lokasi kejadian kemudian menjumpai mayat seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dalam anak sungai.
Abdul Samad berkata, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada tubuh lelaki itu dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat.
Kes katanya diklasifikasikan sebagai mati mengejut.