
Bapanya, S Joseph, berkata keluarga tidak menerima sebarang maklumat daripada pihak berkuasa walaupun sudah menghantar memorandum kepada Jabatan Peguam Negara, Bukit Aman dan Suhakam.
Pada sidang media bersama anak lelakinya, Charles, beliau menggesa pihak berkuasa membuka semula siasatan kematian anaknya pada 2018.
“Kami sudah buat laporan polis mendesak Bukit Aman menyiasat siapa yang menyebabkan kematian anak saya, seperti yang diputuskan mahkamah. Namun polis masih berdiam diri walaupun menerima memorandum kami,” kata Joseph.
Beliau turut merayu agar siasatan dijalankan secara telus, selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa kematian Soosaimanicckam adalah kes bunuh.
Pengarah eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Azura Nasron, pula menggesa Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) campur tangan, dengan berkata keluarga sudah lakukan segala usaha tetapi polis tetap enggan bertindak.
Laporan bedah siasat menunjukkan Soosaimanicckam meninggal dunia di Pangkalan Tentera Laut KD Sultan Idris, Lumut, Perak, pada 19 Mei 2018 akibat edema pulmonari disebabkan jangkitan leptospirosis ketika latihan.
Pada 2023, Mahkamah Koroner Ipoh mengeluarkan keputusan terbuka selepas inkues, menyatakan kematian itu tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana individu.
Namun pada tahun berikutnya, Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan tersebut dan memutuskan kematian itu berpunca daripada pegawai TLDM yang mengendalikan latihan kadet kerana enggan memberi rawatan perubatan.
Keluarganya kemudian menyaman kerajaan dan 14 pihak lain atas dakwaan cuai, tetapi saman itu ditolak Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Disember atas alasan plaintif gagal membuktikan kecuaian berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Mereka kini sedang merayu keputusan itu di Mahkamah Tinggi.