
Mengulas ucaptama Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam, menyentuh kritikan mengenai reformasi yang berjalan perlahan, Saifuddin Abdullah berkata pendekatan itu tidak wajar datang daripada seseorang yang menggelar dirinya sebagai ‘reformis’.
“Lebih membimbangkan, beliau dilihat seolah-olah meletakkan kesalahan terhadap parti-parti gabungan seperti GPS dan GRS berhubung isu sokongan kepada reformasi,” menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota itu dalam kenyataan.
Anwar dilapor berkata beliau sedang melakukan yang terbaik untuk mendorong agenda reformasi, yang mengambil masa dan memerlukan sokongan daripada parti-parti lain kerana Pakatan Harapan (PH) pimpinannya tidak mempunyai majoriti mudah di Parlimen.
Pengerusi PH itu berkata agenda reformasi perlu dilakukan dengan bijak, kerana ‘anda boleh bergerak pantas dan dijatuhkan esok’.
Katanya lagi, PH perlu bekerjasama dengan rakan kongsi seperti Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membina konsensus mengenai agenda reformasi.
Saifuddin bagaimanapun berkata ‘hikmah’ disebutkan Anwar itu menjadi alasan untuk menjustifikasikan kegagalan beliau dalam melaksanakan reformasi.
“Apabila beliau menggunakan istilah hikmah sebagai alasan memperlahankan reformasi, saya tidak melihatnya sebagai mencerminkan makna sebenar istilah tersebut,” katanya.