Hak 40% hasil Sabah: Keputusan diteliti, pastikan hak negeri terbela ikut Perlembagaan, kata Fahmi

Hak 40% hasil Sabah: Keputusan diteliti, pastikan hak negeri terbela ikut Perlembagaan, kata Fahmi

Penghakiman mahkamah perlu diteliti supaya keseluruhan mekanisme difahami serta tiada perkara bercanggah Perlembagaan, kata jurucakap kerajaan.

fahmi fadzil
Fahmi Fadzil berkata, kerajaan Madani akan perjuangkan keadilan bagi Sabah dalam isu hak 40% hasil negeri itu. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Keputusan mengenai tuntutan pemulangan hak 40% hasil Sabah wajar diteliti terlebih dahulu bagi memastikan kesemua mekanisme berkaitan isu itu difahami secara menyeluruh sekali gus mengelak berlakunya sebarang kepincangan pada masa akan datang.

Jurucakap Kerajaan Madani Fahmi Fadzil berkata, langkah itu juga perlu dalam usaha membela hak-hak Sabah yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selain memastikan keputusan diambil oleh jemaah menteri berhubung isu tersebut adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Lewat petang semalam (Jumaat), penghakiman bertulis telah keluar dan 109 muka surat itu sedang diteliti oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya.

“Keputusan atau penghakiman itu perlu diteliti supaya keseluruhan mekanisme difahami serta tidak berlaku sebarang kepincangan atau perkara yang tidak menurut Perlembagaan.

“Contoh, dalam tempoh 180 hari, apakah yang akan berlaku sekiranya melangkaui atau pada waktu ini, kita semua maklum kerajaan Sabah adalah kerajaan interim. Jadi, beberapa keputusan dasar yang mempunyai implikasi kewangan tidak boleh diambil.”

Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Hari Bersama Komuniti dan Temu Anak Muda di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) Kampung Kopimpinan, Putatan, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Mohamad Fauzi Md Isa.

Semalam, Majlis Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam kenyataan bersama menggesa kerajaan persekutuan supaya tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Okt lepas yang mengesahkan hak Sabah untuk menerima pemulangan 40% hasil pendapatan diperoleh dari negeri itu.

Fahmi berkata, beliau percaya Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan memberikan pandangan menyeluruh mengenai perkara itu sebaik tiba di Kota Kinabalu malam ini dalam rangka lawatan kerja pada esok dan lusa.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, kerajaan Madani akan terus komited untuk memastikan hak Sabah terbela sekali gus memperjuangkan dan menegakkan keadilan untuk semua rakyat negeri itu.

“Kita akan perjuangkan untuk pastikan keadilan bagi Sabah. Ini adalah perkara yang telah ditegaskan oleh perdana menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

“Kerajaan Madani merupakan kerajaan yang melunaskan, menyelesaikan sembilan daripada 13 tuntutan menerusi MA63 dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

“Kerajaan ini juga adalah kerajaan persekutuan pertama yang menaikkan pembayaran interim daripada RM126 juta ke RM300 juta, dan dinaikkan sekali ganda lagi menjadi RM600 juta,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.