Waytha mohon maaf kepada PM, kenyataan berkait tempoh Tengku Maimun tidak benar

Waytha mohon maaf kepada PM, kenyataan berkait tempoh Tengku Maimun tidak benar

Bekas menteri di JPM, P Waytha Moorthy, mohon maaf berhubung kenyataan berkait tempoh perkhidmatan bekas ketua hakim negara, Tengku Maimun Tuan Mat.

Waytha Moorthy Ponnusamy
Bekas menteri di JPM, P Waytha Moorthy, mohon maaf kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas ketua hakim negara, Tengku Maimun Tuan Mat.
KUALA LUMPUR:
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, susulan tindakannya mengeluarkan kenyataan tidak benar terhadap Anwar pada satu majlis bersama media, semalam.

Dalam kenyataan di Facebook, Waytha mengakui kesilapannya yang mendakwa Anwar tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan bekas ketua hakim negara, Tengku Maimun Tuan Mat, kerana beliau pernah membuat keputusan terhadap perdana menteri dalam kes rayuan di Mahkamah Rayuan.

Ini kerana setelah menyemak semula rekod rasmi kehakiman pagi tadi, beliau mendapati Tengku Maimun tidak pernah terlibat sebagai panel hakim dalam mana-mana kes rayuan Anwar.

“Saya dengan penuh tanggungjawab mengakui bahawa kenyataan tersebut adalah tidak benar dan ia berpunca daripada satu kesilapan jujur di pihak saya.

“Sehubungan itu, saya memohon maaf dengan setulus hati kepada Anwar atas kesilapan fakta tersebut, serta sebarang salah tanggapan atau imej negatif yang mungkin telah timbul terhadap beliau akibat kenyataan saya itu,” katanya.

Waytha turut memohon maaf kepada Tengku Maimun dan mana-mana pihak yang mungkin terkesan dengan kenyataan tersebut, termasuk tetamu yang hadir dan mendengar ucapan beliau pada majlis semalam, sama ada secara langsung mahupun melalui rakaman atau siaran penstriman.

Justeru, beliau berharap sesiapa yang merakam atau menyiarkan kenyataan tersebut dapat memadam atau menarik balik bahagian berkenaan, bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.