Tuduhan ‘musuh dalam selimut’ abai kerangka kerjasama asas proses damai

Tuduhan ‘musuh dalam selimut’ abai kerangka kerjasama asas proses damai

Kenyataan Rangsi Kitiyansap cermin kefahaman yang lemah terhadap konsep kesepakatan Kepusatan Asean, kata Panglima ATM.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Mohd Nizam Jaffar
Panglima ATM Mohd Nizam Jaffar tegas komitmen Malaysia terhadap penyelesaian yang dipimpin Asean, penghormatan terhadap kedaulatan negara dan pelaksanaan telus semua perjanjian damai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tuduhan tidak berasas yang dibuat seorang bekas pegawai kanan tentera Thailand baru-baru ini mengabaikan kerangka kerjasama yang menjadi asas kepada proses rundingan damai Thailand-Kemboja, menurut Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam kenyataan hari ini, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mohd Nizam Jaffar berkata, kenyataan itu mencerminkan kefahaman yang lemah terhadap konsep kesepakatan Kepusatan Asean, lapor Bernama.

Tambahnya, tuduhan sedemikian tidak berasas dan tidak adil, malah amat mengecewakan, khususnya daripada seorang bekas pegawai kanan tentera seperti Rangsi Kitiyansap.

Rangsi sebelum ini memberi gambaran seolah-olah Malaysia dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjadi ‘musuh dalam selimut’ dalam proses rundingan damai Thailand-Kemboja.

Dalam sebuah video, bekas ketua Stesen Radio dan Televisyen Tentera Diraja Thai (Channel 5) itu menuduh Anwar menyebabkan kerugian ekonomi kepada Thailand melalui perjanjian tersebut, mendakwa ia membenarkan campur tangan Amerika Syarikat dalam ekonomi Thailand.

Mohd Nizam hari ini berkata, tuduhan sebegitu turut menjejaskan profesionalisme dan rasa saling hormat menghormati, yang sekian lama menjadi panduan institusi ketenteraan di rantau ini, tambahnya.

“Selain itu, tuduhan tersebut memesongkan kandungan dan matlamat sebenar Perjanjian Damai Kuala Lumpur. Dokumen rasmi yang menjadi asas kepada proses ini bersifat telus dan telah dipersetujui bersama semua kerajaan terlibat. Ia mengariskan komitmen jelas yang hanya tertumpu kepada keamanan, keselamatan, kerjasama kemanusiaan dan kestabilan serantau.

“Pada ketika ini, sebarang cubaan untuk menjejaskan peranan Malaysia, kepimpinan perdana menteri kita, atau integriti Pasukan Pemerhati Asean adalah berniat jahat. Ia menjejaskan matlamat utama proses ini, iaitu keamanan.

“ATM sejak sekian lama berpegang kepada prinsip bahawa keamanan paling baik dicapai melalui persefahaman dan kerjasama bersama,” katanya.

Mohd Nizam turut berkata, tindakan menuduh pemimpin lain sebagai pengkhianat atau perisik tanpa bukti ‘bukan sahaja mencemarkan maruah yang dituduh, tetapi juga yang membuat tuduhan’.

“Ia mengabaikan usaha gigih mereka yang bekerja secara senyap dan tanpa meminta penghormatan untuk mencapai keamanan serta meruntuhkan kepercayaan yang menjadi asas keselamatan serantau,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen Malaysia terhadap penyelesaian yang dipimpin Asean, penghormatan terhadap kedaulatan negara dan pelaksanaan telus semua perjanjian damai.

“ATM akan terus berkhidmat sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dalam memajukan nilai-nilai bersama ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.